Carian
August 19, 2022

PERDANA MENTERI TIDAK WAJAR MENGGUNAKAN KAKITANGAN KERAJAAN UNTUK TUJUAN POLITIK PARTI

Kenyataan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapannya kepada penjawat awam pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri meminta penjawat awam mempertahankan Kerajaan Keluarga Malaysia daripada pelbagai dakwaan merupakan sikap yang tidak wajar sebagai seorang ketua kerajaan.

Gesaan Ismail Sabri itu dikhuatiri hanya akan mengulangi sikap kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak berdekad dekad lalu yang akhirnya menggunakan kakitangan awam yang rapat dengan rakyat seperti FELDA, RISDA, KEMAS dan sebagainya menjadi alat propaganda meningkatkan imej BN di mata umum.

PM Ismail Sabri seharusnya sedar pendedahan baru baru ini oleh syarikat teknologi Meta (sebelum ini Facebook) dalam ‘Quarterly Adversarial Threat Report’ yang mendakwa pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menjalankan aktiviti 'troll farm' di internet untuk menyebarkan berita dan tuduhan palsu.

Apabila PM Ismail menyeru kakitangan awam untuk mempertahankan kerajaan BN maka rakyat akan melihat kemungkinan isu yang ditimbulkan oleh Meta sebelum ini adalah benar.

Selepas kerajaan BN-UMNO tumbang pada tahun 2018, Jemaah Menteri Pakatan Harapan telah memutuskan untuk melarang penjawat awam daripada terlibat dalam politik bagi menjamin mereka kekal neutral dalam sebarang urus pentadbiran. Menurut Peraturan 21(1), Peraturan Pegawai Awam 395/1993, Pegawai Kumpulan menyatakan larangan penglibatan dalam politik ke atas pegawai kumpulan pengurusan tertinggi dan pegawai kumpulan pengurusan dan profesional.

PM Ismail seharusnya mengetahui peraturan berkenaan dan menghormatinya di atas amanah yang dipegangnya sebagai Ketua Kerajaan yang memimpin penjawat awam.

Sehubungan itu, tindakan Ismail Sabri terbaharu ini boleh membawa kepada penyalahgunaan kuasa. Memaksa kakitangan kerajaan untuk mempertahankan kerajaan BN perlulah ditolak dengan sekeras-kerasnya. Penjawat awam seharusnya berpegang pada prinsip neutral dalam memastikan penyampaian khidmat kerajaan tidak terjejas walaupun berlaku sebarang perubahan pucuk pimpinan.

Maka, Pakatan Harapan mendesak Perdana Menteri menghentikan penggunaan kakitangan dan badan-badan kerajaan sebagai laskar siber Kerajaan BN.

Mengenai tuduhan Meta yang ditimbulkan setelah melalui hasil siasatan mendalam syarikat tersebut, kami menyeru Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia membuat siasatan ke atas dakwaan ini untuk mengenalpasti sekiranya benar terdapat penjawat-penjawat awam, khususnya anggota PDRM yang melakukan tugas politik. Hanya dengan cara ini kerajaan mampu memulihkan reputasi PDRM sebagai institusi yang berintegriti.

Tamat.

KELVIN YII LEE WUEN
Ketua Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP Malaysia

ADAM ADLI ABD HALIM
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

MOHD HASBIE MUDA
Ketua Pemuda AMANAH Nasional

FELIX JOSEPH SAANG
Ketua Pergerakan Pemuda UPKO

Related Posts
crossmenuchevron-up