Carian
July 24, 2021

PH Bersama Syed Saddiq, Henti Peralat Agensi Untuk Kekal Berkuasa

Majlis Presiden Pakatan Harapan kesal agensi-agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus diperalat sebagai senjata politik untuk menekan Ahli-Ahli Parlimen yang menjadi musuh atau enggan menyokong Perikatan Nasional.

Tindakan memperalat agensi ini telah berlaku sejak dahulu lagi, dan telah memuncak dengan pendakwaan terpilih terhadap Setiausaha Agong DAP YB Lim Guan Eng pada tahun lalu ekoran siasatan terburu-buru SPRM sebaik kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada akhir Februari 2020.

Terkini, kita dikejutkan dengan pendakwaan terhadap YB Syed Saddiq, Ahli Parlimen Muar, lebih-lebih lagi kerana ia berlaku hanya beberapa hari sebelum bermulanya sidang khas Parlimen pada 26 Julai ini.

Tambahan pula pendedahan beliau bahawa kes-kes ini dibawa ke mahkamah kerana beliau enggan menyokong Perikatan Nasional.

Oleh itu, Pakatan Harapan berpandangan bahawa kes ini adalah satu tindakan pendakwaan terpilih, dan kami nyatakan sokongan terhadap YB Syed Saddiq.

Sebelum ini Majlis Presiden pernah memberi amaran agar SPRM dan agensi-agensi lain tidak dijadikan senjata politik, terutama untuk menekan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong Perikatan Nasional. Namun dengan tindakan pendakwaan terkini ini jelas menunjukkan salah guna agensi demi kerakusan kuasa terus berlaku.

Pakatan Harapan menegaskan sekali lagi bahawa agensi-agensi Kerajaan tidak patut dan tidak boleh menjadi senjata politik bagi menekan atau mengugut Ahli Parlimen demi mengekalkan kedudukan dan jawatan, terutama bagi mereka yang telah hilang sokongan majoriti.

Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)

Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Related Posts
crossmenuchevron-up