Carian
July 30, 2021

Respon Kepada Kenyataan Pejabat PM Berhubung Pembatalan Ordinan Darurat

Saya amat kesal membaca kenyataan media Pejabat Perdana Menteri bertarikh 29 Julai 2021 yang membalas kenyataan Istana Negara bukan sahaja sebagai biadab dan tidak menghormati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tetapi juga telah dengan jelas membelakangi Seri Paduka Baginda sebagai Raja Berperlembagaan, iaitu satu simbol kestabilan, perpaduan negara dan pelindung Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda perlu bertindak di atas nasihat Jemaah Menteri, amatlah salah untuk kita perlakukan Tuanku hanya sebagai ‘rubber stamp’ Jemaah Menteri atau sebagai ‘pak turut’ yang hanya mengikut segala arahan Jemaah Menteri walaupun nasihat itu jelas salah.

Sebagai Raja Berperlembagaan, Seri Paduka Baginda mempunyai hak untuk mendapatkan nasihat, hak untuk menasihati dan hak untuk memberi peringatan kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.

Sebagai pelindung Perlembagaan Persekutan, Seri Paduka Baginda juga berhak menolak nasihat yang melanggari Perlembagaan atau cacat (defective). Tuanku juga berhak memberi peringatan atau teguran kepada Jemaah Menteri berkenaan sebarang cadangan yang melanggari Perlembagaan dan menasihati Jemaah Menteri untuk perbetulkan kecacatan atau kesalahan tersebut.

Perkara 150(2C) dan (3) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan Parlimen perlu memutuskan usul untuk membatalkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat. Penerangan Menteri tidak memenuhi keperluan yang terkandung di dalam Perkara 150(2C) dan (3) tersebut.

Seri Paduka Baginda amat tepat untuk mengarahkan YB Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Yang Berbahagia Tan Sri Idrus bin Harun, Peguam Negara untuk membentangkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat di Parlimen untuk dibahas dan diputuskan sewaktu sidang khas yang bermula 26 Julai 2021.

YB DS Takiyuddin bin Hassan dan Tan Sri Idrus bin Harun telah gagal menasihati Kerajaan untuk membentang Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan supaya boleh diputuskan Parlimen, dan dengan itu telah mengingkari titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Tambahan pula, YB DS Takiyuddin bin Hassan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat pada 26 Julai 2021 dengan berkata bahawa Ordinan-Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai walhal perkara ini langsung tidak benar. Seri Paduka Baginda belum memberi perkenan, dan pembatalan tersebut tiada di dalam Warta Kerajaan sehingga kini.

Menteri telah membelakangi KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan mengumumkan bahawa Ordinan-Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai 2021, walhal pembatalan belum lagi diperkenan Baginda.

Dalam keadaan ini, kenyataan oleh Pejabat Perdana Menteri telah merosakkan lagi keadaan. Perdana Menteri dan Jemaah Menteri gagal memohon ampun di atas kesalahan yang telah mereka lakukan, malah dengan begitu biadabnya mereka terus mempertikai dan mencabar bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah salah bertindak.

Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Mesti wajib meletakkan jawatan sekarang.

DS Saifuddin Nasution Ismail
Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu
Setiausaha Agung KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up