Carian
September 20, 2021

Sediakan RM5 bilion Tabung Pinjaman Pemodenan Agrofood Demi Memodenkan Sektor Pertanian Dalam Usaha Menurunkan Kos Harga Barang Makanan.

Jawatankuasa Pertanian dan Sekuriti Makanan Pakatan Harapan berpendapat bahawa kerajaan PN 2.0 gagal mengawal kenaikan harga ayam yang kini melebihi RM10 sekilo. Sejak belakangan ini, pelbagai idea dilontarkan oleh Menteri-menteri Perikatan Nasional, tetapi kesemuanya sekadar melepaskan batuk di tangga atau sembang-sembang kosong sahaja. Rakyat tidak nampak akan kesungguhan dan komitmen kerajaan menyelesaikan masalah yang menghimpit kehidupan rakyat marhean.

Rakyat masih ingat sepanjang pentadbiran negara di bawah Pakatan Harapan, harga barang keperluan harian termasuk ayam berjaya dikawal walaupun ketika musim perayaan. Kejayaan itu ialah berkat usaha semua Menteri Pakatan Harapan yang bekerja sebagai satu pasukan untuk menyelesaikan masalah kenaikan kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat jelata.

Difahamkan Menteri Kewangan sedang mengkaji cadangan memberikan subsidi kepada para penternak untuk menurunkan harga barang makanan. Namun demikian, usaha Menteri itu merupakan penyelesaian jangka pendek. Itupun kerajaan PN 2.0 juga ternyata gagal melaksanakan cadangan itu dengan cepat.

JK Pertanian dan Sekuriti Makanan PH mempunyai pengalaman dan pemahaman yang luas dan mendalam dalam sektor dan rantaian penternakan ayam. Kami ingin mencadangkan penyelesaian yang berjangka panjang demi kebaikan semua pihak melalui usaha pemodenan industri penternakan ayam.

Kenaikan harga ayam pada amnya disebabkan wujudnya ketidakseimbangan antara pengeluaran dengan permintaan. Apabila permintaan pasaran meningkat dan pengeluarannya kurang, maka harga akan melonjat naik / melambung.

Industri penternakan ayam di Malaysia menghadapi kapasiti pengeluaran yang terhad. Kebanyakan penternak ayam kita masih mengamalkan penternakan ayam secara tradisional atau open house. Kaedah yang sudah kolot dan ketinggalan zaman ini pasti menjejaskan produktiviti dan menyaksikan hasil pengeluaran rendah untuk memenuhi keperluan yang tinggi. Tambahan pula, kos pengeluaran juga tidak kompetitif.

Apabila para penternak menghadapi masalah kenaikan mendadak harga makanan ayam , perubahan cuaca, atau serangan penyakit, penternakan tradisional pasti akan menghadapi masalah pengeluaran. Sebagai akibatnya, ayam terpaksa dijual dengan harga yang tinggi. Dijangka 70% penternak ayam di seluruh negara masih mengguna pakai cara yang lama ini. Kebanyakan penternak yang tidak kompetitif ini juga terpaksa menggulung tikar dan menghentikan operasi penternakan ayam sebagai akibat kegagalan mereka menanggung kos pengeluaran yang semakin meningkat. Hal ini memburukkan masalah kenaikan harga ayam di pasaran umpama api yang marak disimbah lagi dengan minyak tanah.

Oleh hal yang demikian, kerajaan harus membantu para penternak memodenkan cara penternakan kepada sistem close house dan menggunakan teknologi penternakan yang lebih moden dan sofisikated. Melalui sistem close house dan sistem IoT pasti menyaksikan peningkatan produktiviti penternakan di samping dapat menguranglan kos pengeluargan agar harga ayam di pasaran akan turun.

Kerajaan harus menangani masalah kenaikan harga makanan daripada puncanya.

Buat masa ini, rakyat bukan sahaja berdepan dengan kenaikan harga ayam yang tinggi, tetapi harga hampir semua makanan termasuk sayur-sayuran, ikan dan buah-buahan juga turut naik. Hal ini kerana masalah yang sama, iaitu kapasiti petani yang agak rendah lantaran tidak meningkatkan penggunaan teknologi dalam proses tanaman dan penternakan mereka.

Dalam Bajet 2022 ini, JK Pertanian PH ingin memberikan cadangan kepada Menteri Kewangan untuk menyelesaikan masalah kenaikan harga makanan termasuk harga ayam ini dengan menyediakan Tabung Pinjaman Agrofood (soft loan) sebanyak RM5 bilion kepada para petani, penternak dan nelayan.

Sebenarnya, Tabung Pinjaman Agrofood ini bukanlah perkara yang baharu. Semasa pentadbiran PH, kami telah menyediakan Tabung Pinjaman Agrofood dalam bajet 2020. Kerajaan Perikatan Nasional 1.0 juga meneruskan tabung tersebut dengan memperuntukkan RM1 bilion pinjaman. Walau bagaimanapun, saiz tabung ini dikatakan terlalu kecil dengan pelbagai sekatan syarat termasuk RM5 juta pinjaman maksimum sahaja. Masalah karenah birokrasi juga menjadi batu penghalang. Sekatan-sekatan ini dikatakan tidak membantu para pengusaha yang ingin meningkatkan produktiviti secara besar-besaran.

Maka, Jawantankuasa Pertanian PH ingin menyeru kerajaan memberikan focus semula kepada sektor pertanian dengan menyediakan Tabung Pinjaman Agrofood bernilai RM5 bilion dan melonggarkan syarat dan terma serta karenah birokrasi untuk membantu para petani memodenkan teknologi pertanian mereka.

Dengan menggunakan teknologi yang tinggi dan canggih, kapasiti yang lebih besar, kos pengeluaran makanan termasuk daging ayam akan menurun. Perkembangan ini sekaligus akan menyelesaikan masalah kenaikan harga ayam secara tuntas dan berkesan.
YB Dato' Seri Salahuddin Ayub (Pulai)

YB Sim Tze Tzin (Bayan Baru)

YB Kesavan (Sungai Siput)

YB Sivakumar (Batu Gajah)

Related Posts
crossmenuchevron-up