Carian
April 27, 2021

Segerakan Bantuan Komputer Riba Sebelum Pelaksanaan PDPR

26 April 2021, KPM melalui satu kenyataan rasminya telah mengumumkan bahawa sekolah-sekolah yang belum ditutup buat masa ini di seluruh negara akan ditutup selepas
cuti Hari Raya Aidilfitri sehingga cuti penggal pertama tamat.

Pengumuman ini merupakan satu tindak balas akibat kenaikan kes Covid-19 yang mendadak melibatkan Kluster Pendidikan.

Walaupun banyak sekolah di negeri-negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Johor telah ditutup sementara waktu bagi proses sanitasi, namun KPM bersedia menutup sekolah secara keseluruhan mulai 8 Mei 2021 iaitu mengambil masa 2 minggu daripada sekarang.

JK Pendidikan Pakatan Harapan berpandangan bahawa berapa lama tempoh PdPR dilaksanakan sekalipun, yang penting ialah bantuan komputer riba harus disegerakan
kepada murid yang memerlukan.

Arahan melaksanakan PdPR merupakan satu langkah wajar untuk dilaksanakan memandangkan situasi pandemik Covid-19 terus meningkat, tetapi ia harus diiringi dengan
bantuan-bantuan kemudahan PdPR buat murid mahupun guru yang tidak mempunyai kelengkapan.

Langkah ini bagi memastikan proses PdPR yang akan dilaksanakan memberi keberkesanan yang maksima kepada semua murid dan guru.

Oleh itu, JK Pendidikan Pakatan Harapan menggesa KPM untuk menyegerakan bantuan komputer riba seperti yang dijanjikan dalam Belanjawan 2021 kepada semua golongan
secepat mungkin.

Kami juga menggesa supaya pihak kerajaan dapat memberi insentif khas kepada para guru untuk pembelian data dan alat bantuan mengajar demi memudahkan urusan PdPR.

Bagi guru, murid dan ibu bapa yang memerlukan bahan pembelajaran, dijemput untuk menggunakan platform Sophia.my sebagai salah satu alternatif sepanjang PdPR nanti.

YB Dr Maszlee Malik, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan
YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
YB Teo Nie Ching, Parti Tindakan Demokratik (DAP)
YB Datuk Dr Hasan Baharom, Parti Amanah Negara (AMANAH)

Related Posts
crossmenuchevron-up