Carian
February 22, 2021

Selamatkan, Bina Semula dan Reformasikan Ekonomi - Pakej Rangsangan Tambahan RM45 Bilion Untuk Rakyat Malaysia dan Perniagaan

Majlis Presiden Pakatan Harapan telah mengadakan mesyuarat pada 18 Februari 2021, dipengerusikan oleh YB DS Anwar Ibrahim, dan dihadiri YB Lim Guan Eng, YB Tn Hj Mohamad Sabu serta pimpinan utama Pakatan Harapan.

Sepanjang setahun ini, keadaan negara kita jika dikira dari segi politik, ekonomi, sosial mahupun institusi telah merosot pada kadar yang amat membimbangkan. Krisis kesihatanawam COVID-19 semakin memburuk. Dari segi per kapita, Malaysia merupakan negara dengan prestasi paling buruk di antara negara-negara ASEAN, dengan 283,569 kes positif COVID-19 dan 1,056 kematian setakat 21 Februari 2021.

Pertumbuhan KDNK bagi 2020 menguncup 5.6%, iaitu lebih teruk dari anggaran 4.5% di dalam Belanjawan 2021 Kerajaan. Kadar pengangguran pada 2020 meningkat ke 4.5% - jumlah paling buruk sejak 1993 - dan 4.8% pada Disember, walaupun terdapat peningkatan aktiviti perniagaan pada hujung tahun. Kesan angka-angka ekonomi yang teruk ini paling dirasai golongan B40, termasuk dari kalangan M40 yang telah terjatuh ke dalam kategori B40.

Nilai purata pendapatan garis kemiskinan kebangsaan bagi isi rumah di Malaysia telah disemak semula dari RM980 ke RM2,208 sebulan pada 2019. Dengan metodologi baharu ini, kadar kemiskinan tegar di Malaysia telah bertambah baik dari 7.61% pada 2016 ke 5.6% pada 2019.

Ini bermakna jumlah keluarga miskin telah berkurangan dari 525,743 isi rumah pada 2016 ke 405,441 isi rumah pada 2019. Walau bagaimanapun dengan kegagalan mengendalikan krisis ekonomi yang sedang berlaku, jumlah ini dijangka akan meningkat.

Ada keperluan segera untuk menyelamat, membina semula dan mereformasikan ekonomi, lebih daripada usaha yang sedang dilakukan ini, yang amat tidak mencukupi. Rakyat perlu dibantu dan pakej rangsangan tambahan sebanyak RM45 bilion diperlukan, iaitu tambahan kepada RM15 bilion yang telah diumum awal tahun ini. Kami masih menunggu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengotakan janji bantuan kebajikan bulanan RM1,000 yang perlu dipanjangkan kepada golongan yang menganggur.

Secara dasar, satu-satunya cara untuk menyelamatkan ekonomi ialah dengan membendung pandemik. Kerajaan Perikatan perlu segera tingkatkan perbelanjaan untuk ujian COVID-19, rawatan dan pengesanan kontak, serta pelaksanaan pemberian vaksin. Kita masih melaksanakan di antara 50,000 ke 70,000 ujian sehari, dengan kadar positif sekitar 6%. Jumlah ujian saringan perlu ditingkatkan lima kali ganda jika kita benar-benar mahu membendung pandemik ini.

Untuk mengendalikan ujian pada jumlah ini untuk tiga bulan akan menelan belanja dalam RM2bilion, iaitu satu jumlah yang kecil jika dibandingkan dengan pakej rangsangan ekonomi terkini, tetapi mampu meninggalkan kesan yang lebih mendalam. Sewaktu Perintah KawalanPergerakan (PKP) 2.0, jumlah kluster berkait tempat kerja telah meningkat.
Banyak syarikat termasuk sektor pengilangan teragak-agak untuk melakukan ujian saringan COVID-19 kerana kosnya yang amat membebankan. Kerajaan wajar menyediakan subsidi untuk sebahagian dari kos ujian untuk syarikat-syarikat secara tetap (sama ada sekali sebulan atau setiap duaminggu) terutama bagi syarikat-syarikat yang menggunakan pekerja asing yang tinggal di hostel beramai-ramai.

Kos kepada kerajaan untuk subsidi ujian-ujian saringan ini sudah tentu lebih rendah berbanding kos kepada ekonomi yang ditanggung syarikat-syarikat, terutama PKS, sewaktu PKP 2.0. Sebagai contoh, industri pelancongan telah kehilangan pendapatan RM100 bilion pada 2020, dan keadaan masih sangat buruk di mana banyak pengusaha hotel dan pengendali pelancong terpaksa tutup kedai. Pelbagai sektor lain dari pembinaan ke runcitan turut terjejas.

Program subsidi upah amat penting untuk majikan, kerana program ini membantu mereka mengekalkan jumlah pekerja, manakala subsidi bagi mengupah pekerja baharu perlu dinaikkan terutama bagi golongan muda yang merupakan antara kumpulan paling terkesan dalam krisis ini.

Daripada menghentikan Program Subsidi Upah (PSU) seperti yang diisyaratkan PERKESO beberapa minggu lalu, Kerajaan perlu tingkatkan PSU sewaktu dan selepas PKP 2.0 untuk memberi bantuan yang amat diperlukan syarikat-syarikat terutama PKS.

Syarikat-syarikat yang telah beroperasi di bawah keadaan PKP selama setahun rata-rata telah kehabisan simpanan. Kita bakal berdepan gelombang kemuflisan dalam bulan-bulan yang akan datang jika sokongan yang diperlukan tidak diberi. Setidak-tidaknya moratorium pinjaman bank perlu dipanjangkan secara automatik dan tanpa syarat, mengurangkan beban kos tetap seperti sewaan dan bayaran utiliti dengan pemberian subsidi, pinjaman kredit dan geran.

Kelangsungan syarikat-syarikat ini dan ekonomi negara kita bergantung kepada bantuan-bantuan yang perlu diberi ini.

Akhir sekali, kita bakal menyaksikan satu generasi anak muda Malaysia yang akan mengalami pengurangan pendapatan dan ketidaktentuan ekonomi akibat gangguan terhadap proses pembelajaran mereka pada waktu pandemik ini. Pelancaran DidikTV masih belum mencukupi dan adalah tidak mampu menggantikan pembelajaran secara bersemuka di sekolah.
Yang lebih mengejutkan ialah pengumuman bahawa sekolah-sekolah akan mula dibuka bermula 1 Mac, yang telah memberi tekanan kepada ramai ibu bapa untuk menyiapkan perkakas sekolah, danmembuatkan mereka yang telah membeli komputer riba dan tablet tertanya-tanya apakah mereka boleh menggunakan duit yang telah dibelanjakan itu ke arah perkara-perkara lain.

Dasar membuat pengumuman tergempar seperti ini wajib diberhentikan, dan kerajaan perlu menyatakan perancangan untuk menyelamatkan anak-anak ini yang disebut ‘generasi yanghilang.

Kerajaan telah cuba mengalih tanggungjawab ke atas kegagalan membendung pandemik COVID-19 dengan mendapatkan perisytiharan Darurat dan menggantung Parlimen.

Satu-satunya kerajaan lain di dunia yang telah melakukan perkara yang sama ialah Myanmar,yang jelas fokusnya bukan mengalahkan COVID-19 tetapi rampasan kuasa oleh kelompok ketenteraan yang mahu kekal berkuasa dan menjatuhkan mandat rakyat.

Kerajaan Malaysiatidak banyak bezanya, terutama selepas kehilangan majoriti di Parlimen. Jika kerajaan yangsedia ada gagal menyelamat, membina semula dan mereformasikan ekonomi segera, demokrasi berparlimen perlu dikembalikan bagi membolehkan sebuah kerajaan yang mempunyai keabsahan untuk melaksanakan reformasi yang diperlukan.

 

YB DS Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

YB Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara
(AMANAH)

YB Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik(DAP)

Related Posts
crossmenuchevron-up