Carian
September 8, 2021

Selangor Batal Pelan Pembangunan, Warta Semula Hutan Simpan

Hari ini, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang bersidang telah memutuskan beberapa ketetapan berkenaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

1.Sebanyak hanya 104 ekar daripada jumlah keseluruhan 1,326 ekar akan kekal dinyahwarta bagi melengkapkan pemberimilikan tanah kepada Kampung Orang Asli Busut Baru bagi menyelesaikan isu yang tertangguh sejak tahun 2006. Mereka telah dipindahkan dari penempatan asal mereka pada 1994 untuk tujuan pembinaan KLIA.

2.Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan sebahagian kecil lagi kawasan akan kekal nyahwarta untuk tujuan pertimbangan jajaran East Coast Rail Link (ECRL).

3.Kerajaan Negeri akan menghentikan cadangan pelan pembangunan ke atas kawasan tersebut serta membatalkan pemberimilikan tanah itu kepada syarikat terbabit.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Selangor akan memulakan proses mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Pada masa yang sama, kawasan gantian yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal seluas 1,436 ekar di Sungai Panjang, Ampang Pechah dan Bukit Broga akan kekal statusnya sebagai Hutan Simpan Kekal.

Kerajaan Negeri ingin menegaskan bahawa segala proses penyahwartaan sebelum ini telah mengikuti segala prosedur dan tatacara yang dinyatakan mengikut lunas undang-undang.

Sebagai sebuah kerajaan yang berteras prinsip akauntabiliti, Kerajaan Negeri akan menulis surat kepada YB Speaker Dewan Negeri Selangor untuk mengadakan sidang Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) bagi menjawab sebarang isu-isu yang dibangkitkan berkenaan dengan penyahwartaan sebelum ini.

DATO’ SERI AMIRUDIN SHARI
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Related Posts
crossmenuchevron-up