Carian
January 7, 2022

Siasatan Bebas Terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Dan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Yang Perlu Direhatkan Segera

Majlis Presiden Pakatan Harapa kesal bahawa kontroversi berkaitan pemilikan saham dalam syarikat Bursa Malaysia oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki telah menjejaskan integriti dan melumpuhkan kredibiliti SPRM di mata rakyat malah juga di peringkat antarabangsa, seperti kenyataan yang dibuat Transparency International.

Majlis Presiden mendesak Ketua Pesuruhjaya serta Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang disiasat oleh satu badan bebas dan direhatkan sementara siasatan ini berjalan atas kemungkinan kegagalan menjalankan tugas mengikut undang-undang.

Kami tidak dapat menerima kenyataan Ketua Pesuruhjaya dan Pengerusi LPPR semalam, oleh kerana kenyataan Ketua Pesuruhjaya menunjukkan kemungkinan telah berlaku pelanggaran undang-undang dan percanggahan kepentingan (conflict of interest) melibatkan akaun saham beliau yang diguna untuk membeli berjuta saham bagi pihak adiknya.
Ini melibatkan undangundang khususnya Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, yang boleh didenda RM3 juta atau dihukum penjara 10 tahun jika didapati bersalah, serta isu punca dana yang telah diguna untuk pembelian jutaan saham ini.

Pengerusi LPPR pula dengan begitu mudah mengiakan penjelasan tersebut, walaupun seharusnya siasatan yang lebih terbuka dan menyeluruh dilakukan, kerana melibatkan dakwaan pembelian saham bernilai jutaan ringgit di dalam syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Malah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah mengeluarkan kenyataan semalam bahawa ianya akan mendapatkan penjelasan dari beberapa pihak termasuk Azam Baki tentang perkara ini demi mengekalkan keyakinan pelabur asing terhadap pasaran dana di Malaysia.

Majlis Presiden berpandangan bahawa Perdana Menteri tidak lagi boleh berdiam diri. Selaku Ketua Majlis, beliau harus memanggil sidang Parlimen khas bagi menjelaskan keadaan sebenar berhubung isu saham Azam Baki.

Beliau juga perlu memberi penjelasan bagaimana pengurusan dan pentadbiran SPRM telah menjadi rosak sehingga boleh berlaku kes-kes yang meranapkan imej institusi, termasuk kecurian RM25 juta wang kes Datuk Hasanah Abdul Hamid dan rompakan RM700,000 oleh pegawaipegawai SPRM.

Oleh itu, kami mengulangi pendirian bahawa siasatan penuh dilakukan oleh badan bebas yang tiada kaitan dengan SPRM terhadap bukan sahaja Ketua Pesuruhjaya sedia ada, malah juga terhadap Ketua-Ketua Pesuruhjaya yang telah berkhidmat sebelum ini. Pada masa yang sama,Ketua Pesuruhjaya dan Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM sedia ada perlu direhatkan sehingga siasatan bebas tersebut selesai.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu membuka kertas siasatan untuk menyiasat sekiranya telah berlaku sebarang pelanggaran undang-undang, seperti yang telah didakwa pelbagai pihak.

DS Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)

Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

DSP Madius Tangau
PertubuhanKinabalu Progresif Bersatu (UPKO)

Related Posts
crossmenuchevron-up