Siasatan Ke Atas Anwar Ibrahim Tidak Berasas Dan Menimbulkan Persoalan

Siasatan Ke Atas Anwar Ibrahim Tidak Berasas Dan Menimbulkan Persoalan

SIASATAN KE ATAS ANWAR IBRAHIM TIDAK BERASAS DAN MENIMBULKAN PERSOALAN

3 Februari 2021

Pembukaan kertas siasatan ke atas Anwar Ibrahim dan beberapa individu kerana didakwa menghasut dan mengancam keselamatan serta ketenteraman negara terkait perintah Darurat tidak berasas dan menimbulkan persoalan.

Ia tidak berasas kerana tiada elemen hasutan atau desakan seperti yang didakwa dan digambarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin. Menurut polis, siasatan dijalankan di bawah seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia lanjutan daripada laporan polis yang dibuat yang mendakwa Anwar mencabar kuasa Agong seperti yang dinyatakan dalam Perkara 150 (8) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Perkara 150 (8), perintah darurat tidak boleh dicabar dalam mana-mana mahkamah. Itu benar dinyatakan. Namun apa yang berlaku sekarang ialah rayuan, permohonan ihsan dan kebijaksanaan Agong oleh Anwar Ibrahim, seorang Wakil Rakyat dan Ketua Pembangkang, di luar mahkamah.

Keduanya, tiada apa-apa kenyataan oleh Anwar yang boleh diambil sebagai mencetus ketakutan atau kebimbangan kepada awam dan menghasut melakukan kesalahan atau mengancam ketenteraman awam di bawah seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.  

Sebelum ini Anwar telah mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memohon ihsan dan kebijaksanaan KDYMM Tuanku untuk membatalkan pengisytiharan darurat dan menitahkan sidang parlimen seberapa segera. Ia turut disokong oleh lebih daripada 114 orang Ahli Parlimen. 

Warkah yang ditulis dengan penuh hormat, takzim, tertib, sopan dan rendah diri tersebut tidak menghasut, mengancam atau mendesak. Ia berasaskan kepada hujah yang rasional dan objektif bahawa alasan-alasan nasihat Perdana Menteri dalam langkah Pengisytiharan Darurat mempunyai kelemahan ketara dan tidak berasas sama sekali. 

Ia membawa kepada kesimpulan bahawa rasional nasihat Perdana Menteri dalam langkah Pengisytiharan Darurat tersebut adalah sebaliknya bersandarkan hujah bahawa kerajaan ini sangat uzur dan lemah setelah hilang keyakinan majoriti ahli Dewan Rakyat. 

Ia jelas bukan mencabar, mengancam keselamatan apatah lagi mendesak. Sebaliknya ia datang daripada perasaan dan tanggungjawab seorang Wakil Rakyat yang bersesuaian dengan sumpah menjunjung dan berpegang teguh kepada Perlembagaan, melaksanakan tugas dengan penuh kesetiaan di samping memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan dan negara. 

Malah, sesiapa pun rakyat biasa atau badan bukan kerajaan boleh merayu kepada Agong untuk memohon ihsan baginda untuk memperbaiki keadaan negara. Ini termasuklah mengemukakan teguran dan bantahan akan kerajaan yang gagal. Apakah ini bercanggah dengan mana-mana undang-undang?

Justeru, pembukaan kertas siasatan ini menimbulkan banyak persoalan. Apakah kerajaan sekarang telah gagal, hilang majoriti dan tertekan hingga terpaksa menggunapakai saluran undang-undang dan ugutan untuk menekan apa juga bantahan? Apakah ada arahan dan campur tangan politik kepada pihak polis dalam siasatan ini?  

Persoalan-persoalan ini perlu dijawab dengan jelas kerana rakyat sedang memerhatikan. Jika benar, maka malang bagi negara yang sewajarnya menjunjung keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. 

Pihak polis mestilah melaksanakan tugasnya dengan profesional dan menegakkan undang-undang tanpa gentar, terpilih atau tertekan. Kerajaan ini juga wajib menerima kenyataan bahawa mereka telah hilang majoriti dan laksanakan peralihan secara demokratik demi kebaikan rakyat dan negara.

SYED IBRAHIM SYED NOH
Pengerusi KEADILAN Negeri Johor
Ahli Parlimen LEDANG


Notice: compact(): Undefined variable: limits in /var/www/html/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Notice: compact(): Undefined variable: groupby in /var/www/html/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *