Carian
April 2, 2021

Sindrom Penafian PN Perlu Dihentikan

KERAJAAN PERIKATAN NASIONAL DALAM SINDROM PENAFIAN BAGI MENGGAMBARKAN IMEJ BAIK KEPADA RAKYAT, NAMUN REALITINYA EKONOMI NEGARA SEMAKIN TENAT

Kerajaan Perikatan Nasional dilihat begitu terdesak dalam memaparkan imej baik mereka kepada rakyat walaupun ianya sama sekali tidak menggambarkan realiti sebenar terhadap apa yang berlaku mutakhir ini.

Terbaru, Menteri Kewangan sekali lagi mengeluarkan kenyataan berhubung peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dijangka berkembang pada kadar 6.0 – 7.5 peratus bagi tahun 2020 walaupun banyak pandangan-pandangan lain yang menyangkal unjuran tersebut.

Unjuran tersasar ini bukan kali pertama berlaku di bawah pentadbiran Perikatan Nasional. KDNK bagi tahun 2020 yang diunjurkan sebelum ini menyusut kepada -5.6 peratus berbanding yang diunjurkan oleh Menteri Kewangan melalui Laporan Tinjauan Ekonomi 2021 iaitu pada kadar -4.5 peratus.

Ketika itu, banyak teguran dan nasihat diberikan termasuklah oleh Ketua Pembangkang supaya unjuran pada kadar -4.5 peratus itu diteliti kembali. Kenyataan Ketua Pembangkang ketika itu turut disokong dengan unjuran yang dikemukakan oleh organisasi antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF (-5.8 peratus), Bank Dunia (-5.8 peratus) dan Bank Pembangunan Asia (-6.0 peratus).

Namun teguran dan nasihat oleh Ketua Pembangkang serta pakar-pakar ekonomi dipandang sepi oleh Menteri Kewangan dan Kerajaan Perikatan Nasional. Kini sekali lagi dengan angkuh menteri membentangkan kepada rakyat angka yang masih lagi menjadi pertikaian iaitu dengan unjuran KDNK berkembang pada kadar 6.0 – 7.5 peratus.

Menyingkap kondisi semasa ekonomi negara yang tidak menentu dengan merujuk kepada beberapa faktor seperti pelaburan langsung asing yang terjejas teruk, kadar pengangguran yang menghampiri 700,000, serta nisbah bebanan hutang isi rumah yang menganjak hingga 93.3 peratus kepada KDNK turut menambahkan lagi keraguan terhadap unjuran terkini oleh Menteri Kewangan.

Sebelum ini inflasi yang turut diunjurkan menguncup pada tahun 2021 juga turut meleset apabila terkini dijangka akan melepasi paras 5 peratus suku kedua nanti. Ini sudah pasti mencalarkan kredibiliti Menteri Kewangan yang dilihat tidak cekap menguruskan kewangan negara ditambah dengan kegagalan kerajaan untuk membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) telah meletakkan negara dalam dilema yang luar biasa dari sudut pengurusan ekonomi dan kewangan.

Secara realistiknya, penyusutan KDNK -5.6% pada tahun 2020 ditambah dengan kondisi semasa ekonomi negara tidak memungkinkan suatu lonjakan luar biasa KDNK tahun 2021.

Oleh itu, saya menyeru agar kerajaan meneliti dan mengkaji kembali angka-angka yang dilihat tidak lebih dari sekadar “alat solek” bagi mencantikkan imej kerajaan walaupun hakikatnya Malaysia sedang berada dalam krisis ekonomi yang begitu membimbangkan.

Sindrom penafian kerajaan juga perlu dihentikan dan segeralah mengambil sikap lebih jujur, prihatin serta bertanggungjawab dengan telus menyalurkan informasi kepada rakyat yang berhak mengetahui hakikat sebenarnya ekonomi negara hari ini.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up