Carian
October 23, 2021

SPRM Perlu Siasat Pandora Papers, Projek RM9.4Bilion Trans Sabah Gas Pipeline Dan Multi-product Pipeline

Majlis Presiden Pakatan Harapan amat terkejut dengan keputusan Kerajaan menghidupkan semula projek Trans Sabah Gas Pipeline (TSGP), seperti yang dijawab Menteri Kewangan di Parlimen baru-baru ini.

Bayaran telah dibuat ke atas kedua-dua projek TSGP dan Multi-Product Pipeline (MPP) yang diluluskan zaman BN sebanyak 88% daripada nilai pembinaan atau RM8.3 bilion, walaupun kemajuan kerja yang belum diaudit hanya 13% setakat Mei 2018. Nilai pembinaan keseluruhan TSGP dan MPP ialah RM9.4 bilion tanpa mengambilkira kos tambahan pelbagai pengurusan pakar dan pengambilan tanah sebanyak RM1.7 bilion.

Oleh itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajib menyiasat sepenuhnya mengapa projek TSGP dan MPP yang telah gagal ini dimulakan semula pada 10 Februari 2021 oleh Perikatan Nasional di bawah pimpinan mantan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin.

Kami turut menggesa SPRM untuk melipat gandakan usaha menyiasat isu Pandora Papers yang telah menamakan sejumlah tokoh korporat dan ahli politik yang didakwa memiliki akaun-akaun luar pesisir (off-shore accounts), dan sama ada duit yang disimpan di dalam akaun-akaun ini berasal dari sumber yang sah atau dari kegiatan-kegiatan yang melanggar undang-undang.

Adalah mendukacitakan jika SPRM tiada keupayaan memperoleh maklumat khusus dan perlu bertanyakan Ketua Pembangkang tentang Pandora Papers sungguhpun beliau tidak memiliki sumber-sumber seperti yang dipunyai SPRM dan juga tiada kepakaran siasatan khas berkait isu ini.

DS Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)

Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

DSP Madius Tangau
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)

Related Posts
crossmenuchevron-up