Carian
June 14, 2021

Syed Saddiq Patut Tanya Mahathir Kenapa Tidak Laksana Agenda PH

Kebelakangan ini timbul pelbagai cadangan mengenai sistem percukaian yang tidak adil dan keperluan untuk menggubal akta pembiayaan politik seperti mana yang ditimbulkan oleh YB Syed Saddiq.

Beliau menyatakan rasa kesal berhubung cadangan yang dibincang ketika Pakatan Harapan telah gagal dilaksanakan setelah PN mengambil alih kerajaan.

Soalan yang perlu ditanya oleh Syed Saddiq ialah kenapa Perdana Menteri ketika itu tidak segera melaksanakan agenda yang telah dibincangkan dan diangkat sebagai janji PRU14 setelah beliau menerajui kerajaan.

Tindakan lengah ini telah merencatkan banyak agenda reformasi institusi yang sepatutnya disegerakan dan akhirnya menjejaskan imej PH.

Reformasi ekonomi perlu dilihat dalam kerangka yang lebih besar dan tidak harus disempitkan kepada perubahan sistem percukaian atau pembiayaan politik semata-mata.

Ia harus merangkumi perubahan kepada sistem berat sebelah yang memberi kelebihan tidak adil kepada golongan kaya serta akses kepada penjawat tinggi politik.

Perubahan ini juga perlu dituju kepada sistem ‘rent-seeking’ yang memperkayakan para pemuka perniagaan hanya berasaskan kepada hubungan baik mereka dengan pemuka politik.

Sistem yang lahir dan menjadi tunjang 22 tahun pentadbiran Perdana Menteri ke-4 ini yang perlu diubah.

Perubahan sistem percukaian dan pembiayaan politik semata-mata tanpa mengambil kira kerangka lebih menyeluruh dalam memperbetulkan sistem dan tatacara pengurusan ekonomi yang telah membarah sekian lama tidak akan mampu melahirkan sistem yang lebih adil dan saksama.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Penerangan KEADILAN
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya

Related Posts
crossmenuchevron-up