Carian
December 2, 2021

Sarawak Catat Kadar Kemiskinan Tertinggi Di Malaysia Salah Siapa?

Saya merujuk kepada kenyataan YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Eddin Syazlee Shith pagi ini di Dewan Rakyat. Beliau menjawab soalan yang dinyatakan oleh Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS - Batang Lupar) dan YB Nga Kor Ming (PH - Teluk Intan).

Dalam menjawab soalan yang diajukan itu, YB Timbalan Menteri mendedahkan bahawa negeri Sarawak antara negeri yang merekodkan kadar kemiskinan paling tinggi di Malaysia. Pendedahan ini bukanlah satu perkara baru. Umum diketahui bahawa, meskipun sudah sekian lama Sarawak diperintah oleh Gabungan Parti Sarawak yang didominasi oleh PBB, tahap kemiskinan di Sarawak tidak bertambah baik. malah kekal di taraf yang sama.

Amat menyedihkan buat rakyat Sarawak di mana Sarawak adalah negeri yang mempunyai rizab simpanan tunai terbesar di Malaysia. Pendapatan negeri juga adalah ketiga terbesar di mana Sarawak menyumbangkan sebanyak 12% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) selepas negeri Selangor dan W.P. Kuala Lumpur. Di mana silapnya dalam pengagihan kekayaan negeri ini kepada rakyat Sarawak?

Peruntukan yang diterima oleh setiap ADUN di negeri Sarawak juga adalah antara yang tertinggi di Malaysia. Setiap wakil rakyat GPS menerima peruntukan setiap tahun sebanyak RM5 juta untuk Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), RM2 juta untuk Projek Kecil Luar Bandar (MRP), RM1 juta untuk Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) dan RM1 juta untuk Program Tabung Fasilitasi Pertanian. Adakah peruntukan yang diterima oleh setiap ADUN ini benar-benar sampai ke tangan rakyat bagi rakyat menikmati manfaatnya? Jika ya, mengapa Sarawak adalah antara negeri yang termiskin di Malaysia?

SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Ketua Penerangan
Parti Keadilan Rakyat

Related Posts
crossmenuchevron-up