Carian
July 13, 2021

Tiada Kompromi Dalam Kes Penderaan Kanak-Kanak OKU: Keadilan Mesti Ditegakkan

1.Saya merujuk kepada beberapa laporan media dan penularan di media sosial yang melaporkan kes penderaan seorang kanak-kanak OKU di sebuah institusi penjagaan/perlindungan. Terdapat beberapa isu yang merunsingkan dan wajar diambil perhatian segera oleh pihak autoriti.

2.Secara prinsipnya, saya menegaskan bahawa pihak autoriti yang bertanggungjawab dalam isu kebajikan dan perlindungan kanak-kanak,harus tampil menjelaskan kepada masyarakat berkaitan isu pendaftaran dan pewartaan mana-mana institusi perlindungan yang menempatkan kanak-kanak. Sebarang kecuaian dalam isu pendaftaran, pewartaan dan beroperasi tanpa lessen yang sah adalah kesalahan yang tidak boleh dipandang ringan kerana boleh merisikokan isu keselamatan dan kebajikan kanak-kanak di bawah jagaan institusi tersebut.

3.Saya juga ingin mengingatkan orang awam agar tidak sewenang-wenangnya berkongsi wajah dan maklumat peribadi kanak-kanak tersebut. Di samping hak untuk dilindungi di bawah undang-undang dari sebarang penganiayaan dan penderaan, mangsa juga mempunyai maruah diri dan hak privasi yang mesti dilindungi.

4.Di bawah Akta kanak-kanak 2001, Seksyen 15 akta tersebut khususnya melarang sebarang pelaporan atau penerbitan sebarang maklumat mengenai mana-mana kanak-kanak yang terlibat sebagai mangsa sebarang kesalahan terhadapnya termasuk gambar kanak-kanak tersebut. Mana-mana orang yang melanggar peruntukan ini jika disabitkan boleh didenda sehingga RM 10,000.00 atau pemenjaraan sehingga 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

5.Kita semua terkesan dengan isu penderaan tersebut tetapi harus objektif dalam menyikapi ketegasan pendirian. Tiada kompromi dalam soal keadilan apatah lagi dalam kes penderaan yang melibatkan golongan rentan. Tetapi ia harus dipandu oleh fakta yang benar bukan spekulatif serta etika yang menjaga maruah dan privasi mangsa.

6.Akhir sekali, saya menyeru agar PDRM menyegerakan siasatan kes ini dalam usaha mencapai keadilan dan membela hak mangsa mengikut undang-undang negara. Siasatan dan pendakwaan berkaitan kes ini perlu disegerakan kerana ia telah mengundang keprihatinan dan kepentingan awam yang serius.

Fadhlina Sidek Fadhlina Sidek Sidek
Pengerusi Biro Guaman & Pembangunan Komuniti
Wanita KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up