Carian
February 18, 2022

Tindakan Menangguhkan Usaha Skrutini Terhadap Azam Baki Amat Membimbangkan

Saya terkejut dengan penangguhan mesyuarat antara Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Kewangan dan Ekonomi bersama dengan Suruhanjaya Sekuriti yang seharusnya diadakan semalam bagi membincangkan tentang pemilikan saham milik Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki tambahan pula tiada sebarang alasan diberikan terkait dengan penangguhan mesyuarat ini.

Ini bukanlah kali pertama mesyuarat yang dianjurkan oleh PSC Parlimen bagi membincangkan isu terkait pemilikan saham ini ditangguhkan. Sebelum ini, Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Agensi-Agensi Di Bawah Jabatan Perdana Menteri yang telah dijadualkan bulan lalu bagi membincangkan hal yang sama juga telah ditangguhkan kerana terdapatpertimbangan undang-undang yang perlu diteliti oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang Parlimen Malaysia.

Dalam keadaan pemilikan saham milik beliau yang dipertikai oleh pelbagai pihak sehingga menimbulkan kecurigaan yang mahaserius, tindakan demi tindakan yang seolah-olah menghalangi sebarang usaha skrutini ke atasnya amatlah membimbangkan dan memburukkan lagi imej dan kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang pada pandangan saya seharusnya bertindak dan membawa imej ‘terpaling’ antirasuah di Malaysia ini.

Oleh yang demikian, saya menggesa Perdana Menteri dan kabinet untuk mengambil tanggungjawab sepenuhnya bagi memulihkan semula imej SPRM yang kini sudah tidak lagi mendapat kepercayaan daripada masyarakat teramai akibat tindak tanduk orang nombor wahid bagi SPRM yang tidak berusaha membersihkan namanya melalui cara yang mencerminkan transparensi dan keterbukaan, malah menggunakan orang-orang lain seperti Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bagi membersihkan nama beliau tanpa mengikut prosedur yang betul.

Lapan tuntutan dalam Memorandum Rakyat seperti yang pernah dihantar oleh saya bagi pihak Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan 23 pertubuhan lagi ke Pejabat Perdana Menteri pada bulan lalu perlulah diambil perhatian dan dilaksanakan, khususnya bagi menggantung serta merta tugas beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

AMK akan terus konsisten menuntut supaya Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki disiasat sewajarnya atas prinsip akauntabiliti, keterbukaan dan kebertanggungjawaban.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up