Carian
May 10, 2022

Ulangtahun Ke-4 Kemenangan Rakyat

Hari ini merupakan ulang tahun ke-4 terbentuknya Kerajaan Pakatan Harapan selepas hari mengundi bagi Pilihanraya Umum ke-14. Pada hari ini, empat tahun lalu, sebuah Kerajaan baharu berjaya dibentuk atas semangat rakyat Malaysia yang telah bersama-sama bangkit menolak UMNO-BN dengan memilih Pakatan Harapan, dan seterusnya menyebabkan perubahan Kerajaan Persekutuan yang pertama sejak Merdeka.

Pada ketika itu, tiada sesiapa yang mampu menjangka perubahan bersejarah tersebut boleh berlaku. Malah ada penganalisa yang berkata BN akan menang mudah dengan 2/3 kerusi Parlimen.

Namun yang jelas, semangat rakyat untuk melakukan perubahan pada saat itu telah memungkinkan perubahan yang amat bermakna dalam sejarah politik tanah air.

Kejayaan yang ditempuh pada PRU14 mampu berlaku bila Pakatan Harapan mengatur strategi terbaik, menjiwai hasrat dan denyut nadi rakyat, serta berusaha sepenuh daya meyakini para pengundi.

Pengalaman pahit pengkhianatan Langkah Sheraton harus mengajar kita erti sebenar perjuangan. Ia wajib menyedarkan kita bahawa kemenangan bermakna menunaikan amanah dan tanggungjawab dengan cemerlang. Kita juga perlu waspada terhadap kelompok dan puak yang tidak senang dengan kemenangan rakyat.

Majlis Presiden mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri yang kekal setia dengan prinsip perjuangan Pakatan Harapan.

Pada masa yang sama, kami mengulangi pendirian bahawa Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti perlu dibentang dan diluluskan Parlimen bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi di Malaysia.

Oleh itu, bagi mempersiap jentera Pakatan Harapan serta membangkitkan semangat rakyat terutama pengundi atas pagar menuju PRU15, Pakatan Harapan akan membentuk Jawatankuasa Pilihanraya, Jawatankuasa Manifesto, dan Jawatankuasa Jelajah Harapan.

Pakatan Harapan juga komited untuk menghormati Perjanjian Malaysia 1963. Terbentuknya Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 adalah berdasarkan kepada persefahaman dan niat ikhlas di kalangan pemimpin-pemimpin pengasas kita terdahulu untuk melihat sebuah negara Malaysia yang kemakmuran dan kemajuannya dapat dirasai bersama oleh seluruh rakyatnya.

Segala peruntukkan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hak istimewa kepada Sabah dan Sarawak perlu dilaksana seperti perkara 112C dan 112D yang mana tafsirannya perlu dibuat berdasarkan niat Perlembagaan dan bukannya dibuat untuk menidakkan hak Sabah dan Sarawak.

Akhir sekali, menang kalah dan jatuh bangun itu adalah resmi perjuangan. Pakatan Harapan akan melipat gandakan usaha, merangkul seluruh kekuatan pembangkang untuk memastikan PRU15 milik rakyat.

Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)

Loke Siew Fook
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Madius Tangau
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)

Related Posts
crossmenuchevron-up