Carian
September 27, 2021

Kerajaan Johor Patut Ikut Jejak Pusat Menyalur Peruntukan Sama Rata Kepada Pembangkang

1. Sebagaimana semua sedia maklum pada 23 September 2021, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid telah mengeluarkan satu kenyataan di dalam Parlimen bahawa setiap wakil rakyat pembangkang dan kerajaan akan diberi nilai peruntukan yang sama.

2. Dengan pengumuman ini bermakna satu lagi terma perjanjian yang dituntut Pakatan Harapan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi Parlimen akan dilaksanakan tak lama lagi.

3. Saya sambut baik pengumuman ini kerana ianya menghormati semangat serta prinsip demokrasi apabila tidak berlaku diskriminasi terhadap ahli parlimen pembangkang mahupun rakyat yang mengundi.

4. Bukan setakat penggal ini sahaja malah kerajaan baharu selepas PRU-15 juga wajib meneruskan pelaksanaan dasar ini tanpa melihat latar belakang atau lambang parti seseorang wakil rakyat.

5. Sebagai salah seorang ADUN di Johor, saya juga berharap kerajaan negeri dapat mengikuti jejak langkah kerajaan pusat. YAB Dato' Haji Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor boleh membuktikan “Cara Johor” juga sama baik atau lebih baik daripada cara kerajaan pusat dengan menyalurkan peruntukan sama rata sama adil kepada semua ADUN di Johor.

6. Buat masa ini, ADUN kerajaan negeri menerima peruntukan tahunan lebih banyak berbanding ADUN pembangkang.

7. Begitu juga ADUN pembangkang cuma diberi akses terhadap peruntukan kecemasan, pengurusan pejabat dan aktiviti rakyat tetapi tidak peruntukan pembangunan sebanyak RM100,000 yang juga sama penting untuk kesejahteraan rakyat di kawasan.

8. Jika di peringkat pusat boleh wujud MoU-terma peruntukan sama rata kerana kerajaan PN/BN punyai majoriti tipis, majoriti yang dimiliki kerajaan negeri Johor jauh lebih tipis-lebih sengit (BN 29-27 PH) maka lebih mencerminkan realiti politik semasa yang memerlukan kebijaksanaan kerajaan dan kerjasama rapi antara kedua-dua pihak demi kestabilan politik dan kebajikan rakyat.
YB JIMMY PUAH WEE TSE
Timbalan Pengerusi Keadilan Johor,
ADUN Bukit Batu

Related Posts
crossmenuchevron-up