Carian
September 7, 2021

PH Johor Sambut Baik Usaha Gazet Peruntukan Wakil Rakyat, Namun Kecewa Penolakan Penyertaan ADUN Bipartisan Dalam JKID

1.Pakatan Harapan (PH) Johor menyambut baik hasrat Menteri Besar (MB) Johor Dato' Hasni Mohammad untuk menyediakan dokumen berkaitan peruntukan kepada wakil-wakil rakyat dan digazetkan menurusi Dewan Negeri. Dari ucapan MB, kami memahami bahawa langkah tersebut bertujuan menjamin sejumlah peruntukan tertentu kepada ADUN-ADUN Johor rentas partisan agar mereka dapat menawarkan perkhidmatan terbaik buat rakyat di kawasan masing-masing.

2.PH Johor mencadangkan supaya satu Jawatankuasa Khas Dewan ditubuhkan untuk merealisasikan perkara ini. Draf dokumen yang disediakan boleh digubal dalam bentuk enakmen seterusnya dibentang dan dipersetujukan oleh Ahli-ahli Dewan dalam sidang DUN Johor yang akan datang. Kejayaan Johor melaksanakan perkara ini akan menjadi contoh terbaik kepada negeri-negeri lain bahkan Parlimen Malaysia sendiri dalam rangka usaha pendemokrasian dewan.

3.Namun, respon negatif yang diberikan oleh MB berhubung desakkan oleh majoriti ADUN Pembangkang di Dewan Negeri berkaitan soal penyertaan wakil-wakil rakyat dalam Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD) adalah amat mengecewakan. Alasan yang digunapakai oleh MB terhadap penolakkan ini ialah atas dakwaan JKTD sebagai platform pelaksana semata-mata dan bukan bersifat legislatif.

4.Menurut logik MB, tiada keperluan bagi ADUN-ADUN pembangkang menyertai JKTD. Ironinya, ADUN-ADUN di pihak Kerajaan sendiri pun telahmenyertai mesyuarat JKTD ini bagi membawa isu-isu rakyat yang merekawakili. Justeru, mengapa tidak ADUN-ADUN Pembangkang?

5.MB harus sedar bahawa selain ADUN yang bertindak sebagai seorang penggubal dasar di Dewan Negeri, mereka turut merupakan seorang wakil rakyat. Mereka ada tanggungjawab untuk membawa suara dan isu rakyat di kawasan yang mereka wakili ke jawatankuasa di peringkat daerah yang bermesyuarat setiap bulan, tidak seperti Dewan Negeri yang hanya bersidang 4 kali setahun.

6.Oleh itu, demi memastikan seseorang ADUN dapat menunaikan tugasan dengan berkesan, adalah imperatif untuk melibatkan ADUN-ADUN dalam mesyuarat JKTD.

 
YB DZULKEFLY BIN AHMAD
Timbalan Pengerusi AMANAH Johor
ADUN Kota Iskandar

YB JIMMY PUAH WEE TSE
Timbalan Pengerusi KEADILAN Johor
ADUN Bukit Batu

YB SHEIKH UMAR BAGHARIB BIN ALI
Naib Pengerusi DAP Johor
ADUN Paloh

Related Posts
crossmenuchevron-up