Carian
May 5, 2023

'Kerajaan Tumbang' Hanya Presepsi Untuk Sabotaj Usaha Kerajaan Pulihkan Ekonomi

Sejak pilihanraya Umum ke 15 sehingga hari ini pelbagai usaha cuba dilakukan oleh Perikatan Nasional dan PAS untuk menumbangkan kerajaan perpaduan melalui cara 'pintu belakang' seperti yang dilakukan ketika 'Langkah Sheraton'.

Bukan sahaja pakar malah rakyat juga berpendapat usaha ini tidak akan berhasil memandangkan kerajaan hari ini sangat kukuh bukan sahaja dari segi jumlah malah hubungan antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta parti-parti lain sangat baik tanpa boleh diganggu gugat.

Pemimpin parti-parti dalam kerajaan juga amat berpuas hati dengan prestasi dan cara kerja Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Namun isu 'tumbang kerajaan' ini terus sengaja dimainkan oleh Perikatan Nasional sebagai usaha mensabotaj usaha kerajaan memulihkan ekonomi negara selepas krisis ekonomi pasca pandemik di bawah pentadbiran Perikatan Nasional.

Usaha ini juga dilihat sebagai cubaan mengganggu gugat kemasukan pelaburan ke dalam negara yang hari ini dilihat semakin rancak. Keyakinan pelabur dari negara luar terhadap kepimpinan kerajaan perpaduan serta keyakinan jaminan pembangunan pesat ekonomi negara sepatutnya disambut baik kedua belah pihak termasuk di pihak pembangkang. Namun apa yang berlaku pembangkang cuba merosakkan pembangunan ekonomi negara selepas mereka sendiri gagal ketika berkuasa.

Saya meminta semua pihak mengabaikan 'angan kosong' pihak pembangkang ini dan isu cubaan menggulingkan kerajaan ini tidak perlu dipanjangkan mahupun diangkat oleh semua pihak.

Semalam Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan pihak pembangkang untuk berhenti mengganggu gugat kerajaan. Menurut baginda, ahli politik perlu mengutamakan lebih 30 juta rakyat rakyat serta memberi tumpuan pemulihan ekonomi serta mengutamakan kesejahteraan dan kemakmuran negara.

Sebelum ini juga terdapat sumber menyatakan pihak Istana Negara tidak akan melayan sebarang dakwaan oleh mana-mana pihak bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah kehilangan sokongan majoriti.

Perikatan Nasional dan PAS perlu menjadi pembangkang berkualiti dengan mengangkat isu rakyat dan bukan sibuk mengguling kerajaan dengan cara kotor.

Saya mengambil contoh isu air di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dilihat semakin teruk. Terdapat kawasan yang tidak ada bekalan air termasuk pada hari raya serta masalah air kotor yang tidak berpenghujung walau kerajaan pusat telah memberi peruntukan besar untuk menyelesaikan isu ini. Dari terus berpolitik adalah lebih baik pembangkang menyelesaikan masalah utama yang membelengu rakyat di negeri mereka atau mereka pula yang akan diguling rakyat.

RAZEEF RAKIMIN

Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up