Carian
March 10, 2021

Adakah COMWEL Cuba Menjadi Platform Eksklusif?

Tahniah di atas tertubuhnya Council of Malaysian Women Political Leaders (COMWEL) sebagai salah satu lagi platform pimpinan politik dari kalangan wanita di Malaysia diterajui oleh Menteri KPKT, Datuk Zuraida Kamarudin selaku pengasasnya.

Majlis pelancaran COMWEL menyaksikan hanya mengumpul 13 Ahli Parlimen Wanita dari pihak kerajaan sedangkan keseluruhan Ahli Parlimen Wanita untuk sesi Parlimen ke14 ialah seramai 33 orang, dimana 20 orang lagi Ahli Parlimen wanita dari KEADILAN dan DAP.

Semangat dalam menyambut Hari Wanita Sedunia serta usaha mengangkat polisi 30% wanita sewajarnya COMWEL menggembeling segala kekuatan yang ada dan tidak mengkesampingkan pimpinan politik wanita dari kalangan pembangkang kerana perbezaan fahaman politik.

Sehari sebelum Hari Wanita Sedunia, seramai 33 Ahli Parlimen Wanita telah bersolidariti menurunkan nama masing-masing dengan satu seruan agar Parlimen Malaysia lebih peka gender. Ini merupakan titik sejarah penting yang harus diangkat meskipun ada usaha yang cuba untuk menafikannya. Inisiatif Ahli Parlimen Kuantan melalui kenyataan bersama ini dilihat berjiwa besar dalam usaha mengangkat usaha wanita secara bersama dan merentas sempadan politik.

Usaha memartabatkan dan mengupayakan wanita di setiap peringkat seharusnya mengatasi kepelbagaian sempadan. Ia tidak wajar dilihat eksklusif apatah lagi untuk kepentingan individu atau kelompok tertentu. COMWEL mesti jujur dalam mengiktiraf usaha wanita lain apatah lagi Ahli-ahli Parlimen Wanita sediada yang dikecualikan.

Ayuh! bersama kita menyahut tema memilih untuk mencabar bukan memilih untuk mengecualikan!

NorAzrina Surip @ Nurin Aina
Ahli Parlimen Merbok
Pembantu Jurucakap Parlimen (KEADILAN)
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Related Posts
crossmenuchevron-up