Carian
March 24, 2022

Adakah Sapura Membayar RM10 Juta Setahun Untuk Kegunaan Nama “Sapura”?

Saya merujuk kepada beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Pekan Dato’ Seri Najib Tun Razak yang rajin membela Sapura Energy Berhad (Sapura) kelmarin.

Beliau juga mengemukakan banyak statistik, angka dan pautan berita untuk menunjukkan keghairahan beliau. Alangkah baiknya sekiranya kecelikan ini digunakan (secara baik) dalam menguruskan dana yang dikaitkan dengan beliau seperti 1MDB dan SRC International.

Rakyat perlu tahu bahawa kerugian 3 bulan terkini (Oktober 2021 hingga Januari 2022) Sapura adalah sebanyak RM6.6 bilion dan kerugian terkumpul setahun adalah sebanyak RM8.9 bilion. Hutang jangka masa pendeknya sudah mencecah RM16 bilion dan ianya merupakan satu angka yang sangat besar. Kita sedia maklum bahawa harga minyak sudah mencecah USD 100 setong sekarang dan kebanyakan syarikat yang berkaitan sudah mula mencatat keuntungan. Namun, bukannya Sapura.

Apa yang Najib tidak ingin anda tahu adalah, walaupun pengasas Sapura Shahril Shamsuddin yang telah bersara pada tahun 2020 pernah mengambil gaji besar sebanyak RM72 juta (purata RM192,000 sehari) pada tahun 2017 dan RM82 juta (purata RM224,000 sehari) pada tahun 2018, sehingga sekarang banyak hala tuju pengurusan masih terikat dengan keputusan dulu. Misalannya, adakah Sapura pernah dan masih membayar royalti sebanyak RM10 juta setahun kepada “pihak tertentu” atas kegunaan nama “Sapura”?
https://www.theedgemarkets.com/.../turkeys-year-sapura....

Apa yang Najib tidak ingin anda tahu adalah, sebenarnya peratusan pelaburan PNB adalah tidak lebih 1% daripada jumlah pelaburannya. Kegagalan Sapura tidak akan menenggelamkan pemilik unit ASB seperti yang cuba ditakut-takutkan oleh Najib. Selain Sapura, PNB turut melabur kepada syarikat-syarikat besar lain seperti Velesto Energy, Duopharma Biotech, MNRB Holdings dan lain-lain. Adakah kesemua syarikat ini perlu diselamatkan dengan duit rakyat atas kesalahan pengurusan?

Apa yang Najib tidak ingin anda tahu adalah, jika syarikat ini terpaksa ditutup, akta-akta pekerja dan syarikat yang sedia ada akan melindungi pekerja dan pembekal-pembekal mereka. Syarikat lain yang lebih berdaya termasuk Petronas bolehlah membeli dan mengambil alih aset tersebut jika didapati bersesuaian. Mengapa Najib sibuk membela sebuah syarikat sahaja sedangkan banyak syarikat dan ribuan PKS dalam kesusahan?

Apa yang Najib tidak ingin anda tahu adalah, sebenarnya penyelamatan syarikat seperti Sapura hanya menguntungkan segelintir kecil orang dan pelobi mereka. Siapakah yang rugi? Jutaan rakyat.

Lee Chean Chung
Bendahari Agung KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up