Kenyataan Menteri Kesihatan, Dr.Adham Baba untuk membeli 500 buah ambulan yang mempunyai sistem tekanan negatif, penapis HEPA dan lampu UV, di saat negara mempunyai keperluan lain yang lebih mendesak dalam memberhentikan rantaian jangkitan Covid 19 telah menimbulkan pelbagai persoalan dan spekulasi, apatah lagi dikatakan ia akan menelan belanja sebesar RM 300 juta.
Apakah rasionalnya? Apakah pula data yang ditunjukkan dalam penyelenggaraan pesakit Covid 19 ini sehingga menyebabkan Dr.Adham memutuskan untuk membeli ambulan jenis ini dan sebanyak itu? Berapakah jumlah anggota frontliners yang mengendalikan pengangkutan pesakit Covid atau jenazah pesakit Covid yang telah terjangkiti ataupun menyumbang kepada kluster baru di negara ini?
Ini adalah suatu pembaziran yang nyata dan tidak langsung membantu dalam penyelesaian krisis pandemik Covid 19 di Malaysia. Alangkah baiknya jika wang sejumlah itu digunakan untuk melaksanakan perkara-perkara seperti, mengambil lebih ramai sukarelawan dalam PICK serta memperbanyakkan Program Ujian Saringan massa atau besaran-besaran, supaya isolasi segera dapat dilaksanakan kepada mereka yang di dapati positive. Cara ini sudah tentu dapat membendung rebakan jangkitan dengan lebih efektif.
Bajet sebesar itu juga pasti dapat digunakan untuk mempercepatkan pemberian vaksin dengan cara :
a) memperbanyakkan PPV (Pusat Pemberian Vaksin) supaya akses kepada vaksin menjadi lebih mudah, termasuk menggalakkan dan mempermudahkan klinik-klinik swasta beroperasi sebagai PPV di komuniti.
b) memperluaskan lagi klinik mobile supaya vaksin dapat meliputi lebih ramai penduduk di kawasan pendalaman dan luar bandar.
c) memperbanyakkan lagi PPV pandulalu (drive-thru) sebagai akses mudah bagi mereka di kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar.
Kita juga mendesak supaya Menteri memberikan jawaban kepada persoalan-persoalan ini dengan lebih telus, jelas dan dengan kadar segera.
a) Mengapakah Kementerian memulakan tender kepada 500 ambulan ini dalam keadaan yang tergesa-gesa? Adakah keputusan ini telah mendapat kelulusan kabinet?
b) Apakah pelaksanaan tender ini dilakukan secara terbuka atau bagaimana?
c) Syarikat mana pula yang telah berjaya memperolehnya?
MEMULIHKAN NEGARA, MENGEMBALIKAN DEMOKRASI
JK Kesihatan Pakatan Harapan
a) YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor, AMANAH)
b) YB Dr Lee Boon Chye (Gopeng, KEADILAN)
c) YB Dr Ong Kian Ming (Bangi, DAP)
d) YB Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli (Lumut, AMANAH)
e) YB Dr Kelvin Yil (Bandar Kuching, DAP)
f) YB Sim Tze Tzin (Bayan Baru, KEADILAN)
g) YB Alice Lau (Lanang. DAP)
h) YB Dr Siti Mariah Mahmud (Exco Kerajaan Negeri Selangor)
i) YB Dr Norlela Ariffin (Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang)
j) YB Veerapan Supramaniam (Exco Kerajaan Negeri Sembilan)
k) Ybhg Dr Niekmah Adam (AMANAH)
l) Ybhg Dr Zaliha Mustafa