
Saya menyokong penuh hak untuk berhimpun secara aman, termasuk perhimpunan hari ini oleh anggota Badan Peguam Malaysia dari Istana Kehakiman di Putrajaya ke Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Seperti yang ramai sedia maklum, saya sendiri pernah didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman dan amat bersyukur apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan baru-baru ini bahawa Seksyen 9(5) akta tersebut adalah tidak berperlembagaan. Ini adalah satu kemenangan untuk kebebasan bersuara dan saya percaya keadaan akan terus bertambah baik apabila akta tersebut dipinda seperti yang telah dijanjikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun begitu, saya ingin memberi peringatan agar tidak terikut-ikut dengan naratif liar yang sedang disebarkan oleh pihak pembangkang dan mereka yang mempunyai kepentingan tertentu.
Contohnya, Penasihat Lawyers for Liberty, Latheefa Koya, menggesa kerajaan untuk segera membentangkan rang undang-undang pindaan perlembagaan bagi menafikan sebarang pengaruh Perdana Menteri dan pihak eksekutif dalam pelantikan hakim. Beliau turut menyifatkan perkembangan terkini sebagai “skandal kehakiman terbesar dalam sejarah”.
Pertama, perlu diingat bahawa Perdana Menteri sendiri telah mengumumkan pada April lalu bahawa akan ada semakan semula terhadap Akta Pelantikan Kehakiman langkah ini bertujuan memperkukuh ketelusan dan kebebasan institusi kehakiman.
Kedua, kenyataan bahawa ini adalah “skandal kehakiman terbesar dalam sejarah” adalah satu putar belit yang amat ketara. Mungkin pihak pembangkang dan sekutu mereka sudah lupa bahawa Ketua Hakim Negara sememangnya telah mencapai umur persaraan. Keadaan ini berbeza sama sekali dengan krisis perlembagaan dahulu apabila Presiden Mahkamah Agung, Tun Salleh Abas, digantung dan akhirnya dipecat.
Lebih dahsyat lagi, ketika itu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menggantung lima orang hakim Mahkamah Agung satu krisis perlembagaan yang amat parah dalam sejarah negara.
Bagaimana pula dengan krisis kehakiman 2007? Ketika itu, sebuah video rahsia tersebar menunjukkan peguam VK Lingam didakwa cuba “mengatur” pelantikan dan kenaikan pangkat hakim melalui panggilan telefon bersama seorang hakim kanan. Ini berlaku semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Dan jangan lupa kes penggantungan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer pada tahun 2021 selepas beliau membuat dakwaan berlaku campur tangan dalam institusi kehakiman.
Kali terakhir peguam mengadakan perarakan sedemikian adalah pada 17 Jun 2022, bagi membantah pengumuman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyatakan siasatan terhadap Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Semua ini berlaku semasa Pakatan Harapan bukan kerajaan. Mungkin sebab itulah ada pihak yang cuba memutihkan sejarah lalu dan memburukkan keadaan semasa?
Yuneswaran Ramaraj
Ahli Parlimen Segamat