1. Saya merujuk kepada kenyataan Ketua Pembangkang bertarikh 21 September dan meneliti jawapan Menteri Tenaga dan Sumber Asli bertarikh 20 September terhadap soalan lisan oleh Ahli Parlimen Port Dickson terhadap pemantauan aktiviti pembalakan di kawasan hutan yang digazetkan serta apakah tindakan Kementerian terhadap kes-kes perlanggaran seakan-akan jawapan mengikut skrip tanpa mengetahui situasi sebenar yang berlaku.
2. YB Menteri Tenaga dan Sumber Asli sendiri mengakui bahawa isu pembalakan ini isu yang terlalu lama bahkan berlaku sejak kerajaan terdahulu. Namun, mengapa acapkali bila berlaku bencana seperti banjir besar atau tanah runtuh akan diinterperasikan sebagai bala. Sampai bila kita terus menuding jari kepada faktor fenomena cuaca apatah lagi menganggapnya sebagai takdir Tuhan (act of God) seolah-olah menutupi kelemahan kita selaku khalifah Tuhan dalam mengurus muka bumi.
Bukankah dalam surah Ar-Rum :41 Artinya: “Telah nampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”.
3. Merujuk laporan statistik Global Forest Watch (GFW), Malaysia memiliki 20.3 megahektar hutan semula jadi pada 2010 namun jumlah itu semakin menyusut hingga pada 2019 dan negara telah kehilangan 193,000 hektar hutan semula jadinya.
4. Gunung dan banjaran umpama pasak dan sendi bumi. Hutan berfungsi sebagai kawasan tadahan air hujan. Ia juga bertindak seperti span yang menyerap air melalui jaringan akar yang kuat sebagai pencengkam tanah. Jangan sewenang-wenangnya kita sentuh atau ditarah demi mendapatkan keuntungan segera. Penyahutanan mengakibatkan peningkatan halaju air larian yang menyebabkan bencana banjir lebih buruk dan termasuk tanah runtuh.
5. Merujuk Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-76 bertarikh 4 Disember 2019 yang dipengerusikan oleh Mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bersetuju supaya pindaan dilakukan terhadap Akta Perhutanan Negara 1984 bertujuan mencegah pengambilan hasil hutan secara haram di kawasan Hutan Simpanan Kekal di seluruh negara. Antaranya mencadangkan supaya denda maksimum dinaikkan sehingga RM5 juta dan penjara dari lima tahun dan maksimum 20 tahun.
6. Saya mengharapkan usaha sebelum ini di teruskan agar Akta Perhutanan 1984 disemak semula, dipinda atau diharmonikan peruntukan undang-undang agar ianya mampu mengawal melindungi alam dan mengekang kerakusan manusia.
N0R AZRINA SURIP @ NURIN AINA
AHLI PARLIMEN MERBOK
JURUCAKAP (KEADILAN) SUMBER ASLI & TENAGA