Carian
June 11, 2021

Cadangan Menambah Baik PRE 3.0 Johor

1. Pakatan Harapan (PH) Johor menyambut baik inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 berjumlah RM 241 juta yang dibentangkan oleh YAB Datuk Ir. Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor pada 10 Jun 2021.

2. Tindakan kerajaan negeri untuk memperkasakan pengurusan pandemik dengan pembelian 190,000 unit kit RTK-Antigen bagi meluaskan lagi ujian saringan di Johor adalah selari dengan cadangan kami yang disuarakan semasa sesi mesyuarat atas talian pada 28 Mei. Malah, penglibatan 3 pihak berkuasa tempatan (PBT) berstatus bandaraya menepati seruan kami untuk menggunakan pendekatan ‘seluruh kerajaan dan seluruh masyarakat’. PH Johor berharap agar lebih PBT dan agensi dilibatkan dalam masa terdekat.

3. PH Johor sebelum ini seringkali menyeru agar kerajaan negeri menggerakkan KPJ Healthcare yang dimiliki oleh Johor Corporation Bhd (JCorp) dalam proses melawan pandemik dan kami lega melihat hospital-hospital ini kini termasuk dalam usaha pemberian vaksin Covid-19 bagi mempercepatkan proses vaksinasi terutamanya dengan adanya bekalan vaksin berjumlah RM40 juta yang bakal diperolehi kerajaan negeri.

4. Pemberian peruntukan khas sebanyak RM 7.05 juta kepada semua ADUN dan JPKD untuk melaksanakan program advokasi vaksinasi dan program kebajikan di kawasan masing-masing juga merupakan satu bentuk kerjasama dwipartisan yang proaktif. Bahkan, PH Johor mencadangkan agar bantuan kewangan, pengecualian
pembayaran sewa PPR dan RSK serta penangguhan bayaran lesen penjaja juga wajar dilaksanakan bagi meringankan beban Bangsa Johor.

5. Lebih dari itu, PH Johor mendesak agar penglibatan ADUN-ADUN serta Ahli-ahli Parlimen rentas parti dalam pelbagai platform pembuatan keputusan contohnya Jawatankuasa Bencana Daerah wajar diambilkira sebagai langkah lebih terkehadapan lagi bagi membentuk kerjasama ampuh untuk melawan Covid-19 dan membantu rakyat.

6. Namun, Pakatan Harapan Johor juga melihat ada beberapa inisiatif yang boleh dipertimbangkan kerajaan Johor untuk menambah baik PRE Ihsan Johor 3.0 yang telah diumumkan seperti:

i. Bantuan kepada petani, penternak, dan nelayan secara “one-off”. PH Johor berharap agar kerajaan negeri memasukkan sekali bantuan kepada petani, penternak dan nelayan di Johor yang terjejas akibat pelaksanaan PKP 3.0 dan pandemik. Ramai antara mereka yang kehilangan punca pendapatan dan bantuan secara “one-off” RM 1,000 boleh diberikan kepada mereka untuk memastikan golongan ini dapat bertahan dalam waktu pandemik.

Bagi merancakkan lagi sektor pertanian di Johor, PRE 3.0 perlu menambah peruntukan dalam sektor pertanian, penternakan, dan perikanan untuk melahirkan lebih ramai usahawan pertanian untuk masa akan datang.

ii. Meningkatkan capaian internet. PRE perlu menambah peruntukan untuk meningkatkan data dan capaian internet tanpa had di kawasan luar bandar dan bandar di Johor. Usaha memberikan data internet tanpa had, khususnya buat golongan B40 dan M40 yang banyak menggunakan internet di rumah untuk bekerja dan PdPR, amat penting untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup warga Johor. Ia juga dapat menggalakkan PKS di Johor beralih kepada perniagaan secara digital.

iii. Memudahkan akses kepada PPV. Jarak PPV di Johor yang terletak di pusat bandar menyukarkan Bangsa Johor, khususnya mereka di kawasan desa dan luar bandar untuk bergerak ke PPV. Kami mencadangkan supaya perkhidmatan pengangkutan percuma ditawarkan kepada rakyat untuk mendapatkan vaksin di PPV.

Kerajaan negeri Johor boleh mengkaji pendekatan kerajaan negeri Selangor yang menyediakan rebat pengangkutan bagi perkhidmatan e-hailing untuk mendapatkan vaksin sebanyak RM20 yang memanfaatkan 50,000 orang pengguna dengan kos keseluruhan sebanyak RM 1 juta.

PH Johor menekankan sekali lagi betapa pentingnya untuk mewujudkan perkhidmatan PPV bergerak dan penggunaan pusat komuniti seperti rumah ibadat sebagai PPV di kawasan luar bandar supaya dapat memudahkan penduduk.

iv. Menambah kaedah ujian saringan Covid-19. Kerajaan Johor seharusnya mempertimbangkan penggunaan kit ujian saringan kendiri dan ujian nafas Covid-19 seperti yang digunakan di Singapura, di samping ujian RTK-Ag dan ujian PCR. Ujian saringan perlu dilaksanakan secara besar-besaran untuk mengesan kes-kes positif dalam kalangan komuniti supaya dapat mengekang penularan wabak secepat mungkin.

7. Kami berharap kerajaan negeri mempertimbangkan dan melaksanakan cadangan-cadangan PH Johor. Usaha dwipartisan amat penting bagi memenangkan perang ini terhadap Covid-19 demi kesejahteraan Bangsa Johor.

 

YB AMINOLHUDA HASSAN
Ketua Pembangkang Dewan Negeri (DUN) Johor
Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Johor
Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor

YB SYED IBRAHIM SYED NOH
Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Johor

LIEW CHIN TONG
Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Johor

Related Posts
crossmenuchevron-up