June 26, 2025

Cadangan Pengecualian SST Buah Limau dan Kurma Sempena Perayaan Rakyat Malaysia

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan bahawa buah-buahan import seperti epal dan oren akan dikecualikan daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Saya menyambut baik pengumuman ini. Namun, saya berharap pihak Kementerian Kewangan dapat mempertimbangkan dengan lebih mendalam untuk turut mengecualikan cukai SST ke atas lebih banyak buah import, terutamanya buah limau mandarin dan kurma.

Kedua-dua buah ini merupakan makanan yang sinonim dan tidak dapat dipisahkan dengan sambutan perayaan utama rakyat Malaysia, iaitu Tahun Baru Cina dan Ramadan/Hari Raya Aidilfitri. Pengenaan cukai 5% ke atas buah-buahan ini bukan sahaja menambah beban kepada pengguna, malah bercanggah dengan prinsip asal pelaksanaan SST yang dikatakan hanya memberi kesan kepada golongan tertentu sahaja.

Jika pengecualian tidak diberikan, keadaan ini turut memberi tekanan kepada peniaga kecil dan pengimport yang bergantung kepada permintaan bermusim bagi menampung kos operasi.

Sehubungan itu, saya mencadangkan agar Kementerian Kewangan mempertimbangkan pengecualian khas SST ke atas buah limau mandarin semasa musim Tahun Baru Cina dan buah kurma semasa Ramadan dan Aidilfitri, sebagai sebahagian daripada pendekatan fiskal bersasar yang sensitif terhadap keperluan budaya dan agama rakyat Malaysia.

Saya yakin cadangan ini tidak akan memberi kesan ketara kepada hasil negara kerana ia bersifat bermusim dan terhad, tetapi memberi impak sosial dan ekonomi yang besar kepada kesejahteraan rakyat.

Sebagai rakan kepada Kementerian Kewangan, saya juga bersedia untuk mengadakan perbincangan lanjut bagi memperhalusi mekanisme pelaksanaan cadangan ini, demi mengurangkan beban rakyat.

Related Posts
crossmenuchevron-up