DIVIDEN ASB: PEMBERIAN EHSAN PERLU DIJADIKAN ELEMEN KEKAL
Tahun lepas, ketika ASB memberikan dividen sebanyak 5.00 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit; kecoh pihak yang tak bertanggungjawab menyalahkan Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Pakatan Harapan.
Kini, ASB baru mengumumkan dividen sebanyak 4.25 sen seunit dan ehsan 0.75 sen seunit untuk 30,000 unit pertama.
Kadar ini boleh dianggap berpatutan dengan kegawatan ekonomi berikutan wabak Covid-19.
Saya pasti pihak yang mempolitikkan isu dividen lebih tinggi tahun lepas akan diam membisu memandangkan mereka kini menguasai Kerajaan Persekutuan.
Tahun lepas, saya turut mengesyorkan supaya ASB mengguna pakai dividen bertingkat agar pemegang unit dalam kumpulan B40 dan M40 diberi dividen yang lebih tinggi berbanding pemegang unit T20.
Hampir 80 peratus (7.4 juta) pemegang unit ASB mempunyai unit bernilai kurang RM5,000 pada 2018. Peratusan yang kecil, sebanyak 0.24 peratus mempunyai RM500,001 dan ke atas.
Pemegang unit ASB yang dalam kalangan B40 dan hanya mempunyai RM4.1 bilion manakala 9.15 peratus teratas mempunyai RM127.5 bilion dalam dana unit amanah.
Oleh itu, sementara pekali Gini nasional (ukuran ketidaksamaan) telah bertambah baik dari 0.513 pada tahun 1970 kepada 0.399 pada 2016, pekali Gini di ASB adalah 0.84 atau sangat tidak sama rata.
Alhamdulillah, pada tahun ini ASB memberikan ehsan 0.75 sen kepada 30,000 unit pertama yang menjurus ke arah dividen bertingkat.
Pendekatan ASB selama ini relevan ketika penubuhannya dahulu tetapi perlu ada penyesuaian agar penerima manfaat terbesar adalah golongan Bumiputera B40 dan M40.
Namun saya merasakan sudah tiba masanya untuk PNB menjadikan pemberian dividen bertingkat yang mengutamakan akaun B40 dan M40 sebagai dasar tetap. Kumpulan Wang Simpanan Pusat Singapura (CPF) beroperasi mengikut mekanisme sama.
Pada masa yang sama, saya difahamkan di bawah pengurusan ASB sebelum ini, mereka membuat keputusan tepat dengan mengurangkan program pelaburan menggunakan pinjaman bank.
Sebelum ini saya menggesa dasar ini dikaji semula kerana ia akan mengeruhkan lagi suasana sekiranya keadaan pasaran dunia dan tempatan dalam keadaan gawat (sebagaimana hari ini).
Isu-isu seperti dividen ASB dan hibah Tabung Haji harus dilihat secara rasional dan objektif, bukan dengan matlamat membakar emosi kaum dan agama untuk kepentingan politik.
Kedua-dua institusi ini memberi sumbangan besar dalam tabungan dan pelaburan masyarakat Islam dan Bumiputera di Malaysia dan harus kekal relevan bagi memenuhi matlamat sosial mereka yang menjadi asas penubuhan mereka dahulu.
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA