Peguam Negara mengatakan PM ke-9 Ismail Sabri tidak perlu buat Undi Percaya di Parlimen. Ini bertentangan dengan titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sebelum ini, selepas PM ke-8 Muhyiddin Yassin meletak jawatan.
PM ke-3 dan PM ke-5 sebelum ini juga telah mengadakan undi percaya di Parlimen. Ini bukan perkara yang luar biasa.
Sebelum ini blok Pembangkang terbesar, Pakatan Harapan telah menyatakan kesediaan memberikan komitmen tidak menyulitkan proses undi percaya untuk pentadbiran Ismail Sabri dengan syarat beliau melaksanakan agenda penambahbaikan dan dasar-dasar yang bersifat pro-rakyat.
Namun dengan perlantikan kabinet yang mengekalkan sebahagian besar watak-watak yang gagal (termasuk perlantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara) sebelum ini dan keengganan melakukan undi percaya – boleh disimpulkan ada dua kemungkinan:
1.Ismail Sabri tidak yakin sokongan BN, PN dan GPS untuknya di dalam Parlimen
2.Ismail Sabri langsung tidak mahu mempertimbangkan sebarang penambahbaikan yang dicadangkan PH
Sekalipun tidak diadakan undi percaya, Ismail Sabri akan berhadapan undi Ucapan Titah Tuanku dan Belanjawan yang dilihat sebagai menyamai undi percaya juga. Ismail sepatutnya mengambil peluang di awal pentadbirannya, membuka lembaran baru untuk bina kepercayaan dan keyakinan di kalangan semua pihak, sebagaimana dibuat di dalam pertemuan dengan PH, bukan dengan meneruskan tindakan Muhyiddin membelakangkan Parlimen.
Nik Nazmi
Ahli Parlimen Setiawangsa
Ketua Setiausaha Pengelola KEADILAN