Carian
August 18, 2022

E-WALLET JUGA NAMPAK TIDAK SELAMAT SEKARANG. RAKYAT TANYA: MANA BANK NEGARA MALAYSIA?

Pendedahan dua kes penipuan online melalui laluan e-dompet (E-wallet) telah membuktikan bahawa E-Wallet tidak lagi selamat untuk digunakan.

Mangsa A telah hilang hampir RM2,000 manakala mangsa B mengalami kerugian sebanyak RM50,000. Modus operandi kedua-kedua kes sama, iaitu wang disalurkan daripada akaun bank / kad kredit mangsa TANPA PENGETAHUAN kepada akaun keldai (mule account) e-wallet, dan kemudian dilesapkan.

Lebih menakutkan adalah, Kumpulan Sokongan Mangsa-mangsa Penipuan Kewangan Online telahpun mendedahkan bahawa akaun e-wallet boleh dibuka secara mudah dengan identiti palsu. Wang juga boleh dicarum ke adalam akaun palsu tersebut. Walaupun pengesahan identiti diperlukan apabila wang dikeluarkan daripada ‘akaun’ tersebut, namun ianya telah menunjukkan risiko kebocoran yang bahaya dan membolehkan sindiket menyalurkan wang dalam sekelip mata melalui akaun-akaun palsu ini.

Perkara ini serius kerana penggunaan e-wallet adalah makin meluas. Pelbagai inisiatif dan ganjaran juga disalurkan melalui E-wallet, seperti:

1. 2021: e-Belia yang mengkreditkan RM150 ke dalam akaun e-wallet belia dan mahasiswa berusia 18 hingga 20 tahun.

2. Jan 2022: Kerajaan Malaysia telahpun mengeluarkan pekeliling pembayaran melalui e-wallet(https://ppp.treasury.gov.my/sub-topik/fail/220/muat-turun.

3. Mac 2022: Di bawah Nilai Teras Keselamatan Negara 7: Pembangunan Mampan (Akses Digital), Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan infografik menarik mengenai kelebihan e-wallet kepada peniaga.

4. April 2022: e-Pemula yang mengkreditkan RM150 melalui empat platform iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet

5. Julai 2022: Kesemua kemudahan Kementerian Kesihatan akan menerima pembayaran e-wallet mulai Oktober 2022.

E-wallet adalah di bawah kawal seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) melalui Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 atau Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002. Kami menggesa BNM supaya mengambil tindakan segera untuk menangani kebocoran yang bahaya ini. Pasukan BNM seharusnya membantu rakyat untuk mengesan kepincangan dan kelemahan ini secara proaktif, dan bukan sebaliknya. Keyakinan masyarakat perlu dipulihkan segara sebelum rakyat tertanya-tanya “Mana Bank Negara Malaysia”?

LEE CHEAN CHUNG
Pengarah Komunikasi KEADILAN
ADUN Semambu

Related Posts
crossmenuchevron-up