Carian
November 9, 2022

Gangguan 7 Hari Langsung Tidak Boleh Diterima CEO Rapid Rel Perlu Letak Jawatan

Sistem LRT mengalami gangguan perkhidmatan yang antara paling serius dalam sejarah LRT iaitu selama seminggu. Tempoh gangguan selama 7 hari ini telah mengakibatkan kesengsaraan dan kesulitan kepada ratusan ribu rakyat biasa yang bergantung kepada pengangkutan awam.

Isu tersebut mula dikesan pada tengahari Sabtu dikatakan telah dapat diselesaikan pada awal pagi Ahad 6 November. Namun demikian, masalah yang sama telah berulang pada hari Isnin 7 November. Pergerakan puluhan ribu penumpang terjejas dan ramai yang terkandas di platform ataupun terpaksa menunggu bas yang lewat berjam-jam dan di bawah hujan.

Rapid Rel memaklumkan bahawa Isu berpunca daripada Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) yang tidak stabil. Ini mengakibatkan tren terpaksa dipandu secara manual di antara Stesen KLCC dan Stesen Ampang Park serta tren berhenti lebih lama di platform sehingga mengganggu keseluruhan jadual perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya.

Kita sedar bahawa satu peranti elektronik ATC telah mengalami gangguan. Namun Rapid Rel tidak menceritakan apakah punca peranti elektronik tersebut rosak.

Penjelasan yang kosmetik tidak dapat bantu mengemukakan penyelesaian jangka masa panjang, sebaliknya dilihat cuba menutup kelemahan pengoperasian LRT!

Ini bukan kali pertama LRT mengalami masalah teknikal. Ianya sudah kerap berlaku seperti di bawah:

10 Sept 2022 - Sebuah tren transit aliran ringan (LRT) di laluan Kelana Jaya dilaporkan mengalami gangguan teknikal pada kira-kira 9 malam.

27 Julai 2022 - Perkhidmatan tren dilaporkan mengalami gangguan sekitar jam 12.48 tengah hari melibatkan 11 stesen dari Stesen LRT Bandar Tun Razak sehingga Stesen LRT Pusat Bandar Puchong.

24 Mei 2022 - Gangguan sementara berlaku pada pagi disebabkan masalah bekalan kuasa elektrik di dua ‘Traction Power Sub Station’ (TPSS) di Stesen Taman Jaya dan Stesen Universiti.

22 Julai 2021 - Dua buah tren LRT Laluan Kelana Jaya mengalami masalah sistem brek di dua lokasi berbeza, satu berdekatan Stesen Universiti, Petaling Jaya dan satu lagi di Stesen Setiawangsa hari ini.

24 Mei 2021 - Insiden yang serius. Beratus penumpang cedera apabila dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) terbabit dalam kemalangan berhampiran stesen Kampung Baru. sekurang-kurangnya 47 penumpang dilaporkan cedera parah manakala 166 orang mengalami luka ringan.

Kronologi ini belum lagi dimasukkan insiden-insiden yang berlaku pada tahun 2017, 2015, 2008, 2007 dan 2006. ( https://www.google.com/.../perlanggaran-lrt-beratus-cedera)

Persoalannya, mengapakah kerja-kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan sebelum ini tidak dapat mencegah breakdown yang serius sekarang? Adakah Rapid Rel & Prasarana gagal mengambil iktibar daripada trajedi sebelum ini?

Bagi memulihkan keyakinan orang ramai terhadap kepenggunaan pengangkutan dan agensi awam, saya menggesa supaya:

1. Jalankan satu audit teknikal oleh pihak luar untuk mengetahui apakah punca siri gangguan/kemalangan ini. Jika eskalator stesen LRT pun perlu mengambil masa berbulan-bulan untuk diperbaiki, rakyat dan pengguna berhak mengetahui keadaan yang sebenar kepada LRT.

2. Mengenakan denda kepada Rapid Rel sekiranya didapati kesilapan ini boleh dicegah. SMRT (operator MRT di Singapura) pernah didenda sebanyak RM17 juta pada tahun 2015 ekoran kecuaian kerja-kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan.

3. CEO Rapid Rel perlu letak jawatan atas kesilapan teruk tersebut.

Selalu rakyat berasa hampa kerana segala usaha menyiasat dan mencari penyelesaian selalunya menemui jalan buntu.

KEADILAN perlu membuktikan perubahan dasar dan insentif kepada ahli birokrat akan dapat mengubah keadaan sekarang. Masalahnya, adakah kerajaan peralihan UMNO/BN mempunyai keazaman politik, ataupun kekal mengelak?

LEE CHEAN CHUNG

Calon PH Petaling Jaya

Pengarah Komunikasi KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up