Carian
March 22, 2021

Gesa Parlimen Bersidang Semula Segera Sebagai Salah Satu Cara Menyelamatkan Negara

Kami rujuk sidang media Industries Unite, kumpulan mewakili 110 persatuan perniagaan dengan 3.3 juta perniagaan pada 17 Mac 2021.

Kami amat menyokong banyak dari isu-isu yang dibangkit dalam sidang media tersebut terutama berkait isu kedudukan kompaun yang telah dikenakan di sisi undang-undang, tindakan penguatkuasaan yang terlalu tegas terhadap individu dan syarikat, masalah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang kurang jelas atau mengelurikan serta kesan negatif tindakan-tindakan ini terhadap sentimen pengguna dan operasi perniagaan.

Kami juga amat prihatin berkaitan isu keperlembagaan pengenaan kompaun terhadap individu pada ketika perincian kesalahan belum lagi dimuktamadkan

Kami setuju bahawa Peguam Negara perlu meneliti isu ini dari sudut pandang Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan asasi.

Tambahan pada itu, kami menggesa Kerajaan Malaysia untuk menjelaskan bagaimana perubahan dasar dan undang-undang ini telah membantu mengurangkan kes COVID-19 dengan cara yang bersasar, berkesan dan tidak mendatangkan kemudaratan kepada kehidupan ekonomi rakyat Malaysia terutama dari kalangan B40. Sebagai contoh, apakah bukti Kerajaan bahawa nilai asal kompaun RM1,000 untuk mereka yang tidak mematuhi SOP di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) TIDAK berkesan dalam usaha mengurangkan jangkitan COVID-19, dan apa yang telah membuatkan Kerajaan percaya bahawa meningkatkan nilai ini kepadaRM10,000 bagi individu dan RM50,000 bagi syarikat akan menjadikan usaha mengekang penularan COVID-19 lebih berkesan?

Kami menggesa Kerajaan untuk menunjukkan langkah-langkah yang diambil secara SAINTIFIK dan BERASASKAN DATA dalam merangka SOP. Sebagai contoh, pada hari ini, kita masih tidak tahu bagaimana berbilion-bilion daftar masuk “MySejahtera” diguna untuk menjejak dan mengenalpasti mereka yang berkemungkinan pesakit positif COVID-19, dan bagaimana data ini diguna untuk mengenalpasti lokasi yang berpotensi menularkan COVID-19. Sebagai satu contoh, pada November 2020 di Parlimen, dilaporkan bahawa hanya 4% kes positif COVID-19 dijejak menggunakan aplikasi MySejahtera.

Setakat hari ini, kami masih belum melihat bukti bahawa data dari aplikasi MySejahtera dimanfaatkan secara berkesan pada waktu PKP / PKPB 2.0 untuk mengekang penularan virus ini. Kami juga menggesa Kerajaan untuk bersikap berperikemanusiaan dalam tindakan penguatkuasaan undang-undang sedia ada agar, sebagai contoh, pembasuh pinggan yang miskin tidak akan dikenakan kompaun RM10,000 hanya kerana mereka terlanggar SOP dalam keadaan yang tidak menjejas keselamatan orang lain.

Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan komited untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat malah juga Negeri untuk memberi input dan cadangan bagaimana dasar untuk mengekang penularan COVID-19 dapat dirangka dan dilaksana dengan lebih baik. Ini termasuk juga bekerjasama dengan Kerajaan Negeri yang ditadbir Pakatan Harapan agar tindakan penguatkuasaan serta garis-garis panduan adalah jelas, telus dan berperikemanusiaan.

Kebanyakan dari dasar-dasar dan proses-proses yang tidak dirangka dengan baik ini boleh dielak sekiranya pindaan undang-undang dibincang dengan teliti serta dibahas di Parlimen. Rasional tidak memanggil sidang Parlimen untuk memudahkan pindaan undang-undang sedia ada - yang sepatunya membantu mengawal penularan COVID-19 - terbukti tidak benar. Maka kami menggesa Parlimen bersidang semula SEGERA sebagai salah satu cara untuk menyelamatkan negara, dari sudut kesihatan dan juga ekonomi, dengan menggubal undang-undang dan dasar-dasar yang lebih berkesan.

Tanpa kebertanggungjawaban Parlimen, kami risau masalah sedia ada akan berlarutan seperti yangdisebut Datuk David Gurupatham, wakil Industries Unite, serta menjadi norma di mana “Semua jelas bahawa semuanya tidak jelas.”

YB Fahmi Fadzil
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

YB Khalid Samad
Parti Amanah Negara (AMANAH)

YB Ong Kian Ming
Parti Tindakan Demokrarik (DAP)

Related Posts
crossmenuchevron-up