Selamat Hari Malaysia.
Semoga kita ingat semangat pembentukan Malaysia yang menyatukan iltizam penduduk Semenanjung, Sabah dan Sarawak untuk memberi kebebasan dan kesejahteraan kepada semua saudara-saudara kita yang serumpun.
Saya adalah antara ahli politik yang kerap ke Sabah dan Sarawak sebelum ini. Memang pilu dan menyentuh hati kita melihat kemiskinan di Sabah dan Sarawak, sama seperti pilunya apabila kita melihat kemiskinan di mana-mana.
Anak-anak yang terpaksa bertarung nyawa setiap hari merentasi sungai hanya untuk ke sekolah. Saya ingat bagaimana pendidikan membebaskan saya sehingga ke peringkat saya sekarang, betapa ruginya negara apabila ada anak-anak yang terpinggir dari hak pendidikan akibat kemunduran yang berlaku di Sabah dan Sarawak.
Punca utama kesengsaraan ini adalah apabila mereka yang diberi kuasa dan kedudukan pecah amanah.
Sejak berdekad, demi pakatan bersama untuk kekal berkuasa, ahli-ahli politik di Semenanjung menutup mata kepada penyelewengan dan kegagalan (“incompetence”) rakan-rakan politik mereka di Sabah dan Sarawak dari gabungan yang sama.
Akibatnya, rasuah dan penyelewengan menjadi darah daging. Ramai berebut menjadi ahli politik kerana itu jalan kekayaan. Yang kaya semakin kaya sementara yang miskin menjadi papa kedana.
Kita sedia maklum bagaimana barah penyelewengan ini sama naik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Sang penguasa di Sabah dan Sarawak berlumba-lumba dengan sang penguasa di Semenanjung untuk mengumpul kekayaan sementara mereka berkuasa.
Di Sabah dan Sarawak, golongan yang mengaut kekayaan dari amanah kuasa ini juga yang sama naik mengambil kesempatan menuding jari kepada “Semenanjung” sebagai punca kepada segala masalah di Sabah dan Sarawak.
Itu jalan mudah untuk menutup kesilapan dan pecah amanah mereka dengan berselindung di sebalik sentimen kewilayahan yang memecah belah persaudaraan rakyat.
Saya percaya kedudukan Sabah dan Sarawak di dalam Persekutuan Malaysia adalah sebagai wilayah-wilayah (bukannya negeri-negeri) seperti semangat asal penubuhan Malaysia dahulu. Saya percaya saudara-saudara di Sabah dan Sarawak berhak mendapat hasil yang adil dan setimpal dari kekayaan wilayah mereka.
Namun, saya juga tidak mahu kekayaan itu kelak akan diselewengkan sang penguasa yang sama dari kelompok yang selama ini mengayakan diri sendiri.
Sebab itu, masalah kemiskinan di Sabah dan Sarawak bukanlah soal agihan peruntukan Kerajaan Persekutuan semata-mata.
Ia soal amanah dan ekosistem yang perlu ada di peringkat Sabah dan Sarawak serta undang Persekutuan Malaysia yang perlu tegas menghukum mereka (termasuk penguasa-penguasa dari Sabah dan Sarawak) yang mengaut kekayaan, demi memastikan hasil kekayaan mengalir kepada saudara-saudara di Sabah dan Sarawak.
Mana-mana sang penguasa di Sabah, Sarawak (dan rakan kongsi mereka di Semenanjung) yang makan rasuah dan pecah amanah (termasuk ahli politik dan penjawat awam) mesti diperangi dan dihukum. Siapa yang kaya berlebihan tanpa punca pendapatan yang sahih perlu didakwa dan dihukum.
Barulah agihan hasil Sabah dan Sarawak yang lebih adil dalam Persekutuan ini dapat dipastikan mengalir kepada rakyat Sabah dan Sarawak.
Saudara-saudara di Sabah dan Sarawak perlu memilih penguasa dan pentadbir yang bukan sahaja jujur tetapi cerdik, berwawasan dan cekap mentadbir kerana Sabah dan Sarawak wajar membangun pada kadar yang lebih deras berbanding Semenanjung untuk berada pada tahap pembangunan yang sama.
Kalau saudara-saudara berpuas hati dengan sang penguasa yang mendabik dada mengenai hak Sabah dan Sarawak sahaja tetapi tidak cerdik dan cekap membangunkan wilayah, kalau pun hasil yang banyak disalurkan kepada Sabah dan Sarawak, hasil itu akan dibazirkan kerana kegagalan mengurus dan mentadbir.
Sebab itu, soal agihan peruntukan dan hasil mengikut hak-hak yang menghormati semangat penubuhan Malaysia mestilah diperjuangkan selari dan sama naik dengan soal membanteras pecah amanah dan mengetatkan urus tadbir di Sabah dan Sarawak.
Hanya apabila kedua-dua ini berlaku serentak dan selari, kebajikan saudara-saudara di Sabah dan Sarawak akan terjamin.
Oleh itu, bersempena Hari Malaysia 2022, saya menyeru supaya:
1. Saudara-saudara di Sabah dan Sarawak tidak termakan permainan politik wilayah yang sempit yang mengadu domba persaudaraan Sabah dan Sarawak melawan Semenanjung
2. Saudara-saudara di Semenanjung pula perlu menerima kenyataan bahawa adalah tidak adil melayan Sabah dan Sarawak sebagai hanya salah satu negeri-negeri di dalam Persekutuan Malaysia kerana itu bukanlah semangat penubuhan Malaysia dahulu
Sebenarnya, sebagai rakyat Malaysia, kita adalah serumpun, bersaudara dan berada dalam satu kapal dalam perjuangan menentang sang penguasa yang bermain emosi rakyat demi kepentingan peribadi mengumpul kekayaan mereka.
RAFIZI RAMLI