KENYATAAN MEDIA
MAJLIS PIMPINAN KEADILAN
20 Disember 2020
KEADILAN telah mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bulanan hari ini dan membincangkan beberapa isu dasar berhubung masalah rakyat, tatakelola serta keadaan politik semasa.
MPP KEADILAN mengarahkan pimpinan untuk meneliti isu rakyat khususnya pengangguran yang masih tinggi, harga barang yang melonjak, serta ekonomi yang kekal suram pada ketika COVID-19 terus melanda negara.
Secara prinsipnya, KEADILAN berpegang teguh kepada usaha mengupayakan wanita termasuk di dalam bidang politik. Oleh itu, MPP KEADILAN hari ini mengulangi serta menegaskan komitmen seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan KEADILAN bahawa minima 30% anggota wanita KEADILAN diutamakan dalam penetapan calon dan lantikan politik.
Berkait isu politik semasa, KEADILAN akan terus mengukuhkan Pakatan Harapan serta meningkatkan kerjasama di kalangan Pembangkang. Ini telah dilakukan sewaktu sesi Parlimen yang lalu, termasuk usaha Ketua Pembangkang menjemput semua wakil parti Pembangkang untuk duduk bersama membincangkan strategi menghadapi Belanjawan 2021 yang lalu.
Sejak KEADILAN ditubuhkan pada 1999 dan menempuh PRU pada tahun itu, serta PRU-PRU pada tahun 2004, 2008, 2013 dan 2018, KEADILAN sentiasa mendokong prinsip kerjasama, persefahaman dan gabungan politik melalui Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan. Selama tempoh itu, kerjasama, persefahaman dan gabungan politik ini berpegang kepada prinsip mendokong agenda Reformasi, menolak rasuah, kronisme serta kebobrokan yang berlaku dalam negara.
Oleh itu, KEADILAN akan sentiasa menilai perkembangan politik semasa secara bersama, dan akan meneruskan segala persiapan jentera dan perbincangan berkait PRU15 berpandukan penilaian tersebut.
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN