Carian
March 15, 2022

Jadikan Sisa Makanan Sebagai Dedak Harus Menjadi Polisi Yang Menjadi Keutamaan MAFI

1. Saya ingin merespon jawapan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) dalam menjawab soalan lisan PR-1451-MQT1698 yang ditanya oleh Ahli Parlimen Kemaman dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dalam Parlimen hari ini dalam memastikan sumber bahan mentah dan input pertanian mencukupi berikutan konflik Rusia dan Ukraine.

2. Di dalam soalan tambahan saya turut membangkitkan sejauh manakah pihak Kementerian dalam mengenengahkan sisa makanan sebagai bahan mentah untuk makanan ternakan. Di Malaysia dianggarkan trend peningkatan kutipan sampah adalah sebanyak 14 juta tan setahun menjelangnya tahun 2022 yang akhirnya semua akan ke tapak pelupusan. Dari komposisi sampah tersebut lebih 45% adalah terdiri daripada sisa makanan terbuang.

3. Saya turut membangkitkan kajian yang pernah dilakukan selama empat tahun oleh Universiti Sains Malaysia pada tahun 2020 bertajuk ‘Conversion of Food Waste via Two-Stage Fermentation to Controllable Chicken Feed Nutrients by Local Isolated Microorganism’ yang mana menggunakan sisasisa makanan yang diproses secara saintifik bagi menghasilkan dedak ayam berprobiotik tinggi.

Dapatan kajian ini juga menunjukkan dalam tempoh 2 minggu disimpan, kualiti daging ayam komersial bertukar pucat dan tidak segar manakala daging ayam yang diberi makan dedak probiotik masih kekal merah dan segar disebabkan mengandungi beta-carotene.

4. Secara umum mengetahui bahawa dedak adalah input penting dalam segmen penternakan kerana perbelanjaan makanan meliputi 70% kos pengoperasian ternakan ayam. Kenaikan harga makanan ini memberikan impak yang besar kepada para penternak ayam seluruh negara. Bahan mentah makanan seperti jagung dan soya untuk penghasilan dedak majoritinya diimport dari luar negara.

Kebergantungan ini memberikan kesan yang negatif untuk jangka masa yang panjang kerana ianya bukan dalam kawalan kita.

5. Justeru itu, saya mengharapkan agar Kementerian MAFI melihat peluang ini sebagai satu polisi baru sebagai dasar memanfaatkan sisa makanan terbuang untuk menjadi sumber makanan ternakan khususnya untuk ternakan ayam. Ia adalah suatu yang perlu dilihat dengan serius untuk benar-benar diketengahkan kerana bukan sahaja harganya lebih murah daripada dedak ayam komersial membabitkan kos operasi RM0.43 sen/kilogram dan dijual pada RM1.00/sekilogram.

6. Saya menyokong bila Menteri turut menyatakan pihak Kementerian akan memiliki dasar baru untuk menggalakkan penanaman jagung dalam industri pertanian namun saya juga mengharapkan keberadaan sisa makanan sediada yang terjana di Malaysia atau terbuang terus ke tapak pelupusan perlu dimanfaatkan sebaiknya. Saya yakin usaha ini boleh menjana kekayaan dalam bentuk yang lain kepada negara dan menguntungkan lebih 3000 penternak ayam di negara ini.

Nor Azrina Surip @ Nurin Aina
Ahli Parlimen Merbok

Related Posts
crossmenuchevron-up