Carian
April 23, 2021

Jangan Gadai Masa Depan Negara

Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) ditubuhkan pada 18 Februari 1988 dengan satu matlamat, penggunaan optima hasil sumber asli negara. Matlamat ini digariskan agar hasil sumber asli negara yang menyusut dapat memberikan pendapatan yang berterusan dan stabil demi faedah negara dan generasi akan datang.

Ketika negara berhadapan dengan Krisis Kewangan Asia 1998, wang masa depan generasi akan datang ini tidak disentuh.

Pengumuman penggunaan wang ini oleh kerajaan amat mengecewakan dan menyerlahkan lagi kegagalan pentadbiran Perikatan Nasional menangani Covid-19.

Walaupun dilengkapi dana Belanjawan 2021 yang melebihi RM300 bilion, terbesar dalam sejarah negara, kerajaan masih gagal memerangi Covid-19. RM3 bilion yang mencukupi menurut Menteri Koordinasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin, nampaknya tidak cukup.

Permasalahan utama bukan lagi terletak pada jumlah peruntukan, tetapi kecekapan dan kebijaksanaan pemerintahan.

3 langkah harus diambil untuk menyelesaikan masalah ini tanpa perlu mengusik wang masa depan negara dalam KWAN. Pertama, kurangkan jumlah jemaah menteri yang terlalu ramai angkara ‘scheme of things’ Tan Sri Mahiaddin Yassin. Langkah ini sahaja kerajaan boleh menjimatkan RM7 bilion wang negara.

Kedua, perluaskan pemerolehan vaksin merentasi syarikat swasta dan kerajaan negeri. Benarkan pembelian dan pengedaran vaksin yang diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) oleh pihak swasta dan kerajaan negeri.

Ketiga, sekiranya kerajaan kebuntuan dan tidak berkemampuan menguruskan krisis ini, buka parlimen dan kita bincang bersama mencari jalan penyelesaian yang terbaik demi rakyat dan negara.

Shamsul Iskandar Md Akin
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya
Ketua Penerangan KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up