Carian
September 28, 2022

JUMLAH LCS UNTUK KEPERLUAN PERTAHANAN NEGARA

Walaupun UMNO, BERSATU dan sekutunya PAS berharap isu skandal kapal tempur pesisir (LCS) akan senyap begitu sahaja, ada banyak perkara yang akan terus timbul kerana ia bersabit pertimbangan strategik pertahanan negara.

Saya terus menyiasat dan mendalami skandal ini. Lebih penting lagi, saya percaya kesedaran rakyat mengenai skandal ini memberi tumpuan kepada perkara-perkara strategik berhubung pertahanan negara.

Sehingga ini, rakyat Malaysia masih terkeliru dengan jawapan yang bercanggah mengenai kemajuan projek LCS dan kos yang akan ditanggung rakyat.

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishamuddin Hussin memberi jawapan yang berbeza dari Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Laporan-laporan media memetik Hishamuddin menyatakan bahawa kapal LCS pertama akan mula beroperasi dalam “satu atau dua tahun” dari sekarang (seperti jawapannya di Dewan Negara pada 8 Ogos 2022). Ini bermakna penyerahan kapal LCS pertama dijangka dalam 2023 atau 2024.

Kenyataan ini bercanggah dengan tarikh penyerahan seperti yang dinyatakan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dalam satu temu ramah pada 13 September 2022 bersempena Hari Angkatan Tentera.

Menurut beliau, jadual penyerahan kapal LCS adalah seperti berikut: Kapal pertama (Januari 2026), kapal kedua (September 2026), kapal ketiga (Mei 2027), kapal keempat (Januari 2028) dan kapal kelima (September 2028).

Maklumat-maklumat yang bercanggah di antara Menteri Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia menimbulkan beberapa persoalan besar yang belum dijawab oleh Hishamuddin.
Pandangan individu-individu yang terbabit dengan projek LCS yang disampaikan kepada saya sebelum ini merumuskan beberapa perkara yang wajar dibawa kepada perhatian rakyat

1) Dengan jumlah yang telah dibelanjakan (melebihi RM6 bilion dari kos keseluruhan RM9 bilion yang diperuntukkan) berbanding kemajuan projek setakat ini, baki peruntukan adalah tidak mencukupi untuk menyiapkan kapal-kapal ini

2) Berdasarkan pengumuman Hishamuddin sebelum ini yang kos keseluruhan projek LCS akan mencecah RM11 bilion, mereka menganggarkan hanya dua (2) kapal LCS yang boleh disiapkan dengan jumlah tersebut

Sebab itu, saya menyeru supaya Hishamuddin menjelaskan kepada rakyat beberapa soalan penting mengenai projek LCS setakat ini:

I. Berapa jumlah sebenar kapal LCS yang dibina di bawah kontrak dengan Boustead Naval Shipyard (BNS) yang akan disiapkan dan diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia?

II. Berapa kos keseluruhan sebenar yang akan dibelanjakan oleh kerajaan untuk menyiapkan sejumlah kapal LCS it?

III. Apakah jadual penyerahan sebenar kapal-kapal ini kepada Tentera Laut Diraja Malaysia?

Perkara ini penting kerana kelewatan projek LCS sekarang sudah pun meletakkan tentera kita di belakang negara-negara serantau. Kapal LCS yang sepatutnya diserahkan dalam masa satu dua tahun ini dirancang dan dibina menggunakan teknologi sedekad lalu.

Adalah tidak masuk akal untuk meneruskan kontrak sedia ada dengan BNS yang menggunakan spesifikasi sepuluh tahun lalu pada kos yang berkali ganda kerana itu akan terus meminggirkan keupayaan pertahanan tentera kita berbanding dengan negara serantau.

Kita sewajarnya membina keupayaan pertahanan yang setanding dengan negara serantau seperti Indonesia.

Semakan menunjukkan Tentera Nasional Indonesia (TNI) mempunyai pelan jangka panjang memodenkan armada tentera lautnya.

Rancangan jangka panjang di bawah program bernama Green Water Navy ini meletakkan sasaran kekuatan armada sebanyak 274 kapal (terdiri dari 110 kapal tempur, 66 kapal peronda dan 98 kapal bantuan) menjelang 2024.

Setakat ini, TNI sudah mempunyai 12 kapal tempur pesisir di bawah kelas Clurit dan kelas Sampari (walaupun spesifikasi adalah berbeza, kelas-kelas ini dilihat sebagai kapal tempur pesisir yang sesuai bagi perairan Indonesia).

Sebab itu, skandal LCS yang berlaku sewajarnya meletakkan tumpuan negara kepada persoalan peruntukan berbilion ringgit yang dibazirkan akibat penyelewengan sedangkan keupayaan pertahanan negara terus menjadi usang.

Oleh itu, saya menyeru supaya Hishamuddin berterus terang mengenai jumlah sebenar yang akan dibelanjakan di bawah kontrak sedia ada dengan BNS dan berapa kapal sebenarnya yang akan siap dan diserahkan kepada TLDM.

Jawapannya kelak akan membuka perdebatan baru mengenai sejauh mana armada TLDM kita ketinggalan berbanding dengan negara serantau.

RAFIZI RAMLI

Related Posts
crossmenuchevron-up