Carian
February 3, 2022

KEADILAN Akan Lancar Aplikasi "ADIL apps" Sempena Pemilihan Parti

Persediaan ke arah pemilihan parti diteruskan walaupun Parti berdepan dengan Pilihanraya Negeri Johor yang dijangka akan berlaku pada pertengahan Mac ini. Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) kini terus gigih dalam persediaan tersebut bagi menepati garis masa yang telah disasarkan oleh Presiden dan Majlis Pimpinan Pusat.

Tarikh penerimaan keanggotaan dan pertukaran cabang telah pun ditutup pada 31hb Januari baru-baru ini, dengan pengesahan dari pejabat Setiausaha Agong bagi penerimaan permohonan keanggotaan baru mencecah 78,093 orang bermula 24 Nov 2021 sehingga 31 Jan 2022, suatu pertambahan yang besar dari jumlah seramai 1,004,629 pada Ogos 2020 yang lalu.

Pada pemilihan kali ini, JPP menjangkakan jumlah yang akan keluar mengundi akan melebihi dari jumlah 200,000 anggota yang telah keluar dalam pemilihan 2018. Ini adalah kerana sistem pemilihan hibrid yang menggabungkan pemilihan secara online dan fizikal akan lebih memudahkan mereka untuk membuang undi dari mana sahaja tanpa perlu hadir ke cabang keanggotaan masing-masing.

Anggota juga begitu teruja dalam pemilihan kali ini yang diharapakan akan mengenengahkan barisan kepimpinan yang lebih mantap, terangkum dari pelbagai latarbelakang termasuklah dari kalangan anak muda dan srikandi, aktivis, professional juga golongan agamawan serta gandingan muka baru dan anggota senior parti.

Ini bertepatan sekali dengan tema pemilihan kali ini iaitu kembali melaras, membina dan memperkuat (RESET, REBUILD & RECHARGE).

Senarai mereka yang boleh mengundi akan dimuktamadkan selepas 18hb Februari dan sekarang adalah fasa semakan dan bantahan, jika ada, dari keseluruhan cabang dan sayap parti.

Seusai itu, JPP akan melancarkan aplikasi “ADIL apps” yang boleh dimuat turun melalui apps store dan play store di mana anggota parti boleh mengemaskini maklumat kendiri serta mula mendaftar untuk mengundi secara online dalam pemilihan Parti.

Jawatankuasa Pemilihan Parti menggalakkan anggota parti untuk sentiasa cakna dengan segala perkembangan terkini dari kami yang boleh diikuti dari website rasmi parti dan juga Facebook page rasmi Pemilihan Parti.

DR. ZALIHA MUSTAFA
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti
Parti Keadilan Rakyat

Related Posts
crossmenuchevron-up