
Biro Hubungan Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertamadun rejim Israel yang dilaporkan telah melancarkan serangan ke atas bandar Doha, Qatar. Serangan ini bukan sahaja merupakan satu bentuk pencerobohan ketenteraan di wilayah berdaulat, malah ia adalah tindakan keganasan antarabangsa, dan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa serta Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
1. Pelanggaran Piagam PBB dan Kedaulatan Antarabangsa
Artikel 2(4) Piagam PBB dengan jelas menyatakan: “All Members shall refrain in their international relations from the threat or use of force against the territorial integrity or political independence of any state.”
Prinsip kedaulatan negara adalah asas utama dalam undang-undang antarabangsa. Serangan Israel terhadap Qatar merupakan pelanggaran hak kedaulatan sesebuah negara yang dijamin oleh Konvensyen Montevideo (1933) serta prinsip asas non-intervention dalam hubungan antarabangsa.
2. Seruan kepada OIC
Keadilan menyeru agar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) segera mengadakan sidang tergempar bagi mengutuk keras tindakan Israel ini serta mengkoordinasi langkah-langkah diplomatik, politik, dan ekonomi sebagai tindak balas terhadap keangkuhan rejim Zionis.
3. Boikot Menyeluruh Terhadap Israel
Kami menyeru semua negara, khususnya di dunia Islam, EU, Asia, Afrika, dan Amerika Latin, untuk memperluaskan boikot terhadap Israel dalam semua bentuk – politik, ekonomi, perdagangan, sukan, dan kebudayaan – sehingga rejim Zionis itu menghentikan jenayah kemanusiaannya.
4. Desakan kepada Perhimpunan Agung PBB (UNGA)
Keadilan juga menyeru agar Perhimpunan Agung PBB mengambil langkah tegas untuk menggantung dan seterusnya menamatkan keahlian Israel daripada PBB, sejajar dengan tindakan yang pernah dikenakan terhadap rejim apartheid Afrika Selatan dahulu.
Serangan Israel ini sekali lagi membuktikan bahawa rejim Zionis Israel adalah ancaman serius kepada keamanan antarabangsa. Malaysia bersama masyarakat dunia mesti berdiri teguh menentang kezaliman ini dan memperjuangkan hak rakyat Palestin serta menegakkan prinsip undang-undang antarabangsa.
Biro Hubungan Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (Keadilan)