Berdasarkan laporan terbaru yang dipaparkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, pertumbuhan ekonomi untuk Perusahaan Kecil dan Serdahana (PKS) telah menyusut sebanyak 7.30 % pada tahun 2020 berbanding dengan penyusutan pertumbuhan negara sebanyak 5.6% dan kategori bukan PKS iaitu 4.6%. Kegagalan Kerajaan Perikatan Nasional menghulurkan bantuan yang berkesan dan tepat menyebabkan gelombang penutupan di kalangan PKS dan kadar pengangguran yang semakin melambung tinggi.
Dalam 15 tahun kebelakangan ini, pertumbuhan PKS adalah lebih tinggi berbanding dengan kategori bukan PKS kecuali pada tahun 2020. Penyusutan yang mendadak tersebut adalah satu amaran penting untuk kita.
Menggunakan 1.15 juta PKS di negara kita pada tahun 2020 sebagai kiraan, ia bermaksud bahawa pendapatan setiap PKS telah menurun sebanyak RM 35,000 secara purata. Antaranya, PKS seperti bidang pembinaan dan bidang perkhidmatan adalah paling terjejas dengan penyusutan nilai keluaran menyusut sebanyak 15.4% dan 9.2% masing-masing.
Meskipun, sumbangan PKS dalam ekonomi negara tidak sebanyak firma besar atau pelaburan langsung asing, tetapi PKS adalah sumber pekerjaan dan pendapatan banyak kebanyakan rakyat. Ia berkait rapat dengan kehidupan dan kesejahteraan sebahagian besar rakyat negara kita.
Walaupun PKS hanya menyumbangkan 39% daripada keseluruhan Keluaran dalam Negeri Kasar (KDNK), tetapi ia merupakan 99% daripada keseluruhan perusahaan di negara dan 48.8% tenaga kerja adalah dalam PKS. Kesan pandemik Covid-19 pada tahun 2020 telah menyebabkan jumlah pekerja yang diambil oleh PKS mencatat penyusutan yang pertama kali sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pengurangan sebanyak 65,000 orang tenaga kerja.
Kerajaan Perikatan Nasional telah mengabaikan kelangsungan hidup PKS setahun kebelakangan ini dengan mengambil tindakan membabi buta, mengklasifikasikan sektor yang boleh beroperasi mengikut sektor perlu dan tidak perlu. Tindakan tersebut menyebabkan PKS tidak mengambil pekerja dan akhirnya melonjatkan kadar pengangguran secara mendadak.
Sepanjang tempoh ini, rakyat hanya dapat melihat Menteri Perdagangan dan Industri Azmin Ali sibuk menarik pelaburan asing dan membuka pintu belakang untuk firma besar. Sekatan terhadap sektor ekonomi yang telah beberapa kali dibuka dan ditutup dalam tempoh setahun ini, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Wan Junaidi baru sahaja terperasan keperitan yang dihadapi oleh PKS dengan mengeluarkan kenyataan berkaitan PKS pada 28 Julai 2021. Tidakkah ia membuktikan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional hanya mementingkan 1% firma besar berbanding dengan 99% PKS?
Ketidakberdayaan PKS dalam memerangi pandemik ini, termasuk dengan amalan dua darjat yang berlaku di kalangan pegawai penguatkuasa undang-undang, kesukaran dalam permohonan pinjaman pembiayaan dan sebagainya adalah realiti dan fakta yang terbuka dan diketahui semua.
Pada awal bulan Jun, Persatuan Perusahaan Kecil dan Serdahana (SME Association) telah memberi amaran bahawa sekurang-kurangnya 40% PKS akan ditutup disebabkan Perintah Kawalan ini. Namun sehingga ke hari ini, selain bantuan kewangan yang tidak seberapa dan penundaan pinjaman, Kerajaan Perikatan Nasional masih tidak memberikan sebarang dasar atau pelan pemulihan untuk menyelamatkan PKS yang dalam keadaan nazak.
Saya mencadang agar Kerajaan perlu berhenti menentukan sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi dengan perkhidmatan perlu dan tidak perlu. Sebaliknya, secara saintifik menggunakan data pandemik yang lalu untuk mengklasifikasikan sektor ekonomi berisiko tinggi dan rendah untuk menetapkan Prosedur Operasi Standard dan menentukan pengoperasian sesebuah sektor.
Dalam situasi yang tertentu, Kerajaan tidak perlu untuk berpura-pura bahawa mereka mahakuasa dan maha mengetahui. Contohnya, pemilik kedia gunting rambut, salon kecantikan dan kedai aksesori kereta pasti lebih berhati-hati dalam mencegah penularan wabak. Ini kerana, sekiaranya penularan berlaku di premis mereka, ia pastinya akan menjejas reputasi mereka yang akan menyebabkan penutupan atau kemuflisan pada bila-bila masa sahaja.
Saya mengusulkan agar Kerajaan segera menyediakan pelan dan peta pemulihan bagi setiap sektor ekonomi PKS yang berbeza serta kemudahan dan bantuan yang boleh diberikan oleh Kerajaan.
Ini kerana melindungi mata pencarian setiap orang adalah sangat penting. Sektor pembinaan, makanan dan minuman, perkhidmatan dan rekreasi serta sektor yang paling akhir dibenarkan beroperasi sepatutnya mendapatkan bantuan yang lebih besar. Kerajaan juga perlu membuat pindaan undang-undang untuk skim bekerja dari rumah, memudahcarakan dan mengurangkan karenah permohonan pinjaman dan bantuan, mengecualikan kos pendaftaran perniagaan dan lesen, menentukan sektor-sektor yang kemungkinan berkembang pesat selepas pandemik ini serta mendorong syarikat dan pekerja yang bermasalah untuk terlibat dalam latihan dan melakukan perubahan.
Saya meragui bahawa pemulihan PKS tidak termasuk dalam agenda utama kabinet dan Majlis Pemulihan Negara. Di saat majoriti PKS di negara kita dan pekerja yang bergantung kepada PKS untuk mencari nafkah sedang di tahap nyawa-nyawa ikan, rakyat pula melihat Kerajaan Perikatan Nasional sibuk membuka dan menutup sidang Parlimen untuk mengekalkan kuasanya.
YB Lee Chean Chung
Bendahari Agung KEADILAN
ADUN Semambu