Saya dihubungi banyak media sejak kelmarin berikutan pengumuman kemasukan Dato’ Seri Zahidi Zainul Abidin, mantan pemimpin UMNO ke dalam KEADILAN Perlis. Hasrat beliau ini bukan baru. Ia telah dinyatakan tidak begitu lama selepas Dato’ Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Selepas dilantik menjadi Pengerusi KEADILAN Perlis, saya dimaklum bahawa Dato’ Seri Zahidi telah memohon menjadi anggota KEADILAN dan diluluskan pada pertengahan Mei 2024. Maklum balas sebahagian anggota KEADILAN, rakan PH dan rakan perpaduan BN telah disampaikan kepada wakil pimpinan Pusat.
Dari segi prinsipnya, KEADILAN ialah parti untuk semua. Sesiapa pun dialukan menyertai parti mengikut proses permohonan yang ada. Yang lebih penting tentunya menghayati perjuangan parti.
KEADILAN tidak pernah dikenali sebagai parti kaya. Ia dibina oleh semua anggota dengan segala susah payah dan kesetiaan yang tentunya menuntut banyak pengorbanan. Ini hanya mungkin berlaku kerana iltizam perjuangan yang kental.
Dalam situasi semasa di mana Presiden KEADILAN kini menjadi Perdana Menteri, tidaklah menghairankan jika sokongan parti bertambah dan ada nama-nama yang dikenali ramai mahu bersama. Kita mengalukan sesiapa sahaja yang sanggup mengharung perjuangan ini dalam susah dan senang. Ini adalah masa yang genting untuk kerajaan menunjukkan prestasi perkhidmatan terbaik dan KEADILAN mesti menjadi tunjang utama sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat.
KEADILAN Perlis khususnya tidak menyediakan karpet merah kepada sesiapa. Sesungguhnya perjuangan parti masih jauh dan berliku. Banyak kerja keras dan usaha jitu perlu dilakukan bagi mengukuhkan parti, khususnya di negeri Perlis. Ia menuntut kesetiaan, persahabatan dan pengorbanan yang bukan kepalang.
NOOR AMIN BIN AHMAD
Pengerusi KEADILAN Perlis