Carian
May 25, 2021

Kenyataan Bersama Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN

Pengerusi-pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN telah mengadakan mesyuarat hari ini secara maya bersama dengan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan telah membincangkan beberapa perkara seperti berikut:

1.MPN memutuskan supaya usaha pendaftaran bagi vaksinasi Covid-19 wajar disokong dan digerakkan sebagai sebahagian daripada program imunisasi kebangsaan untuk melindung diri dan semua daripada sebarang jangkitan. Negeri-negeri wajar bekerjasama dengan wakil-wakil rakyat dan agensi yang berkenaan supaya pendaftaran dapat diluaskan, termasuk di kawasan luar bandar dan di kalangan masyarakat rentan serta warga emas.

2.MPN bagaimanapun, dalam isu Vaksinasi, mendesak kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk memudahkan serta menyegerakan pemberian vaksin kerana masih terdapat jurang yang besar antara jumlah yang berdaftar dan jumlah yang divaksin. Terdapat jurang yang besar antara unjuran pemberian harian sebanyak 75,000 suntikan dengan angka sebenar sebanyak 30,000-40,000 suntikan sehari. Malahan terdapat jurang yang amat besar antara jumlah dos vaksin sebenar yang diperolehi rakyat dengan unjuran oleh Kementerian iaitu perbezaan kekurangan hampir 3.6 juta dos. Ini telah diterangkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 22 Mei lalu.

3.MPN juga sedar terdapat aduan terkait dengan pusat pemberian vaksin (PPV) yang dipusatkan di bandaraya sahaja seperti bagi pusat pemberian vaksin AstraZeneca (PPVAZ) untuk warga emas di Johor, iaitu hanya di Persada Johor International Convention Center, Johor Bahru. Maklumat rasmi keluaran Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 pada 22 Mei 2021 menyatakan demikian sedangkan ciapan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada 17 Mei 2021 menyebutkan AstraZeneca juga akan dihantar kepada rumah jagaan warga emas. Mana satu yang betul?

4.MPN menggesa kerajaan untuk menambah keberkesanan pemberian vaksin dengan memastikan berikut:

4.1menggunakan saluran dan media yang jelas supaya maklumat yang sampai kepada rakyat adalah selari dan mudah diikuti

4.2meningkatkan kejelasan dan ketelusan dalam sistem pengganti penerima vaksin sekiranya penerima asal tidak dapat hadir atau menolak

4.3mengurangkan kekeliruan dengan menentukan jurucakap yang betul untuk Covid-19, SOP dan Vaksin.

4.4membuka seberapa luas ruang-ruang pemberian vaksin termasuk menambah PPV di hospital dan klinik swasta supaya lebih mudah dicapai oleh rakyat,
termasuk di luar bandar

4.5membenarkan negeri-negeri membeli sendiri vaksin tanpa banyak karenah birokrasi

5.MPN amat khuatir dengan kelemahan dan kelembapan kerajaan dalam menangani isu Covid-19 dan vaksin ini. Sementara rakyat dan peniaga terus diminta kendiri dan waspada terhadap wabak, namun kegagalan kerajaan dalam memahami keadaan sebenar rakyat boleh menambahburuk keadaan. MPN mendesak kerajaan untuk melibatkan wakil-wakil rakyat dalam usaha melawan Covid-19 dengan membuka parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta bekerjasama di peringkat Negeri, Daerah dan Mukim.

PENGERUSI-PENGERUSI MAJLIS PIMPINAN NEGERI
PARTI KEADILAN RAKYAT

Related Posts
crossmenuchevron-up