July 10, 2025

KENYATAAN MEDIA MAJLIS PIMPINAN NEGERI (MPN) KEADILAN SABAH

Kami menyambut baik dapatan tinjauan Ipsos (Ipsos Populism Report 2025) bahawa keyakinan rakyat terhadap masa depan negara terus meningkat dengan jumlah responden yang merasakan keadaan negara merosot menurun daripada 52% pada tahun 2023 kepada 40% pada tahun 2025, jumlah yang berada di bawah purata global iaitu 57%. Ini menunjukkan rakyat dapat merasai usaha reformasi institusi dan impak positif yang dibawakan Kerajaan Madani.

Indikator ini menunjukkan bahawa rakyat bertambah yakin dengan usaha YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuat lawatan rasmi dalam meningkatkan kerjasama pelbagai hala terutamanya menarik pelaburan ke tanah air. Sambutan dan penghormatan yang amat baik negara-negara luar dengan kepimpinan YAB Perdana Menteri telah mengangkat Malaysia sebagai  Negara yang disegani.

Tambahan lagi, survei Merdeka Centre baru-baru ini mendedahkan penarafan kelulusan (approval rating) terhadap YAB Perdana Menteri meningkat kepada 55% pada Mei 2025, satu peningkatan ketara dari 43% pada Jun 2024. Kelulusan terhadap kerajaan persekutuan juga naik kepada 50% berbanding 40% pada 2024. Secara tidak langsung  menangkis naratif ketidakpuasan terhadap Kerajaan Madani dan meletakkan asas kestabilan politik sebagai keutamaan rakyat.

Secara keseluruhannya, dapatan  ini juga sekaligus mencerminkan mood rakyat Sabah yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi yang memberi rating tertinggi kepada kepimpinan YAB Perdana Menteri. Ternyata kestabilan politik baik di peringkat Persekutuan dan Negeri kekal menjadi pilihan utama buat rakyat yang mahukan pembangunan dan kemakmuran.  Rakyat mahukan kesinambungan, bukan perbalahan. Menjelang PRN Sabah 2025, apa yang rakyat mahukan adalah kestabilan dan Kerajaan Madani semakin meyakinkan.

YB Datuk Mustapha  Sakmud

_Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah merangkap Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi_

Related Posts
crossmenuchevron-up