
Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 membuka peluang penting untuk mentransformasikan landskap pendidikan Malaysia. Namun, kejayaannya bukan ditentukan oleh reka bentuk dasar semata-mata, tetapi menerusi pelaksanaan tuntas beserta penglibatan berterusan daripada semua pihak berkepentingan.
Pelancaran RPM 2026–2035 yang baharu diumumkan sangat-sangat dinantikan oleh masyarakat khususnya warga didik; para ibu dan ayah; serta mereka yang mendambakan kualiti pendidikan yang kalis cabaran masa kini dan mendatang. Antara pembaharuan penting yang diberi perhatian ialah reformasi dasar pendidikan awalmenerusi pengenalan pendaftaran secara sukarela ke Tahun Satu pada usia enam tahun.
Langkah ini sejajar dengan amalan pendidikan global dan menempatkan Malaysia selari dengan 143 buah negara yang telah lama mengamalkan pendekatan serupa. Pendedahan awal kepada persekitaran pembelajaran berstruktur membolehkan intervensi bertempat, membantu mengenal pasti keperluan perkembangan, serta menyediakan kanak-kanak untuk pembelajaran sepanjang hayat dengan lebih baik - bersyarat kepada persediaan ekosistem sejak awal.
Dasar ini juga diharap akan membantu ibu bapa yang bekerja dalam menghadapi kos penjagaan kanak-kanak yang semakin meningkat. Seperti yang dilaporkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) pada tahun 2019, kos penjagaan dan pendidikan awal anak-anak yang tinggi dikesan antara penyumbang beban kewangan pasangan muda berusia di antara 20 hingga 40 tahun.
Tambahan lagi, pelaksanaan dasar ini perlu juga mengambil kira jurang kesediaan prasarana dan tenaga pengajar antara wilayah, khususnya di kawasan luar bandar, pedalaman serta Sabah dan Sarawak, memandangkan peralihan secara sukarela ini berpotensi mewujudkan lonjakan bilangan murid dalam tempoh singkat.
Tanpa pendekatan berbeza mengikut konteks setempat, risiko ketidaksamaan akses dan kualiti pendidikan awal berkemungkinan akan terus melebar.
Selain itu, inisiatif pendedahan awal kepada TVET di sekolah kebangsaan amat penting dan perlu diberi penekanan seawal mungkin. Ia menepati fenomena “the lost boys”, seperti yang dilaporkan oleh UNICEF pada tahun 2023, di mana fenomena ini menyebabkan jurang jantina ketika tamat pengajian sekolah, apabila jumlah murid perempuan lebih tinggi melepasi pengajian sekolah berbanding lelaki pada peringkat menengah.
Seiring dengan itu, statistik tahun 2025 pula menunjukkan 53.56 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih laluan TVET. Pendedahan awal TVET di sekolah rendah dan menengah bukan sahaja membina asas kemahiran, tetapi juga menangkap minat murid sedari awal dan memastikan kesinambungan kurikulum sehingga ke alam pekerjaan yang lebih bersesuaian dengan kehendak industri.
Hakikatnya, pendedahan awal kepada kemahiran dan dunia pekerjaan bukanlah sesuatu yang baharu di peringkat antarabangsa. Negara seperti Jerman dan Finland telah lama menyepadukan pembelajaran berasaskan kemahiran dan aplikasi dunia sebenar sejak peringkat sekolah rendah, dengan penekanan kepada eksplorasi minat, literasi kerja dan pembinaan asas kemahiran. Pendekatan ini terbukti membantu meningkatkan penglibatan murid serta mengurangkan risiko keciciran di peringkat menengah.
Selain itu, keputusan untuk meletakkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebagai peneraju tunggal sistem pendidikan pra-universiti, termasuk Tingkatan Enam dan matrikulasi, mulai tahun 2027 adalah langkah yang baik bagi perancangan jangka panjang. Perubahan ini akan membolehkan penempatan di universiti awam menjadi lebih inklusif dengan keberkesanan sumber dan bakat yang ada.
Keputusan ini dibuat berikutan kebimbangan terhadap tempat terhad bagi kursus-kursus popular, terutamanya pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan tetapi sukar mendapatkan tempat di universiti.
Ternyata, pendidikan perlu dipandu oleh kompas moral yang kukuh. Pelaksanaan pelan tentang peri penting etika, integriti, empati dan tanggungjawab sosial dalam membentuk teras pengajaran dan pembelajaran, dapat memastikan kecemerlangan akademik berjalan seiring dengan pembentukan sahsiah.
Namun, kejayaan pelan yang baik ini akhirnya terletak pada pelaksanaan yang teliti, telus, dan disokong semua pihak. Justeru, gandingan serta sinergi erat ibubapa, tenaga pengajar, badan bukan kerajaan, PIBG dan pemegang taruh lainnya dalam memastikan pelaksanaan yang tuntas dan menyeluruh merupakan intipati utama dalam menjayakan Rancangan Pendidikan Malaysia.
Semoga usaha ini membuahkan kejayaan demi anak-anak kita, Insya-Allah.
NURUL IZZAH ANWAR
Timbalan Presiden KEADILAN