Carian
April 23, 2021

Kepentingan Sokongan Bipartisan Bagi Meningkatkan Keyakinan Vaksin dan Melindungi Rakyat

Saya mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan semalam oleh Menteri Penyelaras PICK berkenaan kehadiran saya serta anggota PAC lainnya dalam prosiding bersama JKJAV pada 5 Januari 2021.

Saya mengesahkan pendirian PAC - terdiri daripada keanggotaan dwipartisan, yang berpuas hati dengan penjelasan JKJAV - MOSTI, MOH dan KP MOH berkait proses perolehan vaksin Covid-19; harga dan jadual penghantaran.
https://www.astroawani.com/.../pac-puas-hati-penjelasan...

Sedang Malaysia berdepan dengan serangan pandemik yang amat mengesankan kepada sistem kesihatan, sosio-ekonomi dan kesejahteraan rakyat - tumpuan kita perlu menjurus kepada perlindungan beserta kebajikan rakyat.

Mencapai imuniti kelompok sehingga 80 peratus adalah salah satu tiang seri utama dalam melindungi kita semua dan mengembalikan ekonomi Malaysia ke arah tuju yang lebih positif.

Namun, permulaan yang baik menerusi sesi PAC bersama JKJAV sewajibnya diteruskan menerusi sidang Parlimen yang dibuka serta merta. Dewan Rakyat adalah medan semak imbang pihak eksekutif; tempat berlangsungnya penggubalan undang-undang bagi melindungi hak rakyat, dan perbahasan isu-isu kritikal ; bukannya semata-mata pertarungan membuang undi.

Secara khusus, prosiding PAC serta sidang Parlimen secara amnya perlu diteruskan dalam usaha kita memberi sepenuh dokongan kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan bukannya bertikam lidah sementara wujud segelintir rakyat yang masih berbelah bahagi untuk menerima vaksin dengan kemunculan pelbagai kumpulan anti vaksin yang pesat di media sosial.

Pembukaan Dewan Rakyat juga mampu memperkukuh gandingan strategik merentasi parti, pihak berkepentingan, dan pelbagai segmen masyarakat dalam memaksimakan keyakinan vaksinasi - dan mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang 2022.

Saya bersama Ketua Menteri Pulau Pinang akan melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di SP Arena, Seberang Jaya pada hari Isnin yang akan datang. Pusat Khidmat saya bersama ramai lagi Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri akan terus bersama-sama membantu dalam proses pendaftaran vaksinasi.

Yang jelas, kekecewaan atau kritikan dalam kelemahan urus tadbir negara - tidak seharusnya memberi kesan negatif atau merencat perkembangan program imunisasi. Fokus utama kita adalah untuk keluar dari wahana pandemik - dan mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN PERMATANG PAUH

Related Posts
crossmenuchevron-up