1.Saya merujuk kepada perkongsian seorang individu yang telah tular di media sosial baru-baru ini. Dalam perkongsiannya, individu tersebut menyatakan bahawa telefon pintar yang diterima oleh anaknya bagi tujuan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) telah terbakar, walaupun peranti tersebut baru diterima kurang dari tempoh satu bulan.
2.Sejak tahun yang lalu, PdPR telah menjadi norma baru di negara ini di mana mempunyai peranti seperti telefon bimbit, komputer riba atau tablet adalah menjadi suatu kewajipan. Insiden telefon bimbit PdPR terbakar yang berlaku di Gombak itu sudah pasti mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan para pelajar dan jelas membuktikan bahawa kualiti peranti adalah sangat rendah kerana baterinya tidak mampu bertahan untuk penggunaan yang lama.
3.Seperti yang sedia maklum, Program Jaringan Prihatin yang bernilai RM3.5 bilion sepatutnya memberi manfaat kepada 8.5 juta rakyat dari kumpulan B40 di mana RM2 bilion dibelanjakan untuk membeli telefon pintar manakala syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan memberi sumbangan tambahan sebanyak RM1.5 dalam bentuk data percuma. Persoalannya, ke manakah peruntukan berjumlah 3.5 billion ini? Seharusnya dengan peruntukan sebegitu banyak, murid-murid sewajarnya menerima peranti pendidikan yang berkualiti tinggi.
4.Sebagai warga Perak, wajar untuk saya menzahirkan kebimbangan saya terhadap Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) yang memperuntukkan RM2.7 Juta bagi 200,000 pelajar di negeri ini.
5.Dalam sebuah kenyataan media Metro bertarikh 14 Jun 2021, Kerajaan Negeri Perak mengakui memberikan telefon pintar berkualiti rendah bagi mengelakkan penyalahgunaan peranti pendidikan seperti bermain games atas talian. Alasan pelajar mungkin menyalahgunakan peranti adalah tidak wajar diguna pakai oleh Kerajaan Negeri Perak untuk memberi peranti pendidikan yang berkualiti rendah kepada rakyatnya. Sewajarnya Kerajaan Negeri Perak mengambil kira kualiti pengalaman pembelajaran murid-murid, termasuk isu keselamatan peranti yang digunakan.
6.Saya menggesa pihak yang terlibat terutama Kementerian Komunikasi dan Multimedia membuat siasatan segera terhadap isu ini dan memberi penjelasan dari hasil siasatan tersebut, lebih-lebih lagi jenama peranti yang terbakar di Gombak adalah sama dengan jenama yang diterima untuk Program TCS. Semua murid sewajarnya mempunyai akses kepada pengalaman pembelajaran yang selamat, berkesan dan menyeluruh. Ini termasuklah keselamatan penggunaan peranti yang diterima melalui program pendidikan oleh kerajaan persekutuan mahupun negeri.
Norheizan Sofea Mustafa
Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Negeri Perak