Carian
September 26, 2022

KERAJAAN GAGAL MENANGANI MASALAH PEMILIKAN RUMAH YANG DIHADAPI OLEH RAKYAT MALAYSIA

Kerajaan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob gagal menangani masalah pemilikan rumah yang dihadapi oleh Rakyat Malaysia. Beliau lebih sibuk dengan politik UMNO-BN yang kini gemar membincangkan untuk mengadakan Pilihanraya Umum Ke-15 pada musim tengkujuh.

Kenaikan harga rumah yang semakin hari semakin meningkat telah menyebabkan kebanyakan rakyat di Malaysia tidak mampu untuk membeli rumah terutamanya bagi mereka yang menetap di kawasan bandar. Hal ini kerana, kos sara hidup bagi mereka yang menetap di kawasan bandar adalah amat tinggi daripada segi penyewaan rumah, kos sara hidup, kos pengangkutan, bil-bil utiliti dan pelbagai kos perbelanjaan.

Memiliki rumah adalah impian hampir setiap individu di Malaysia. Namun, keadaan hari ini tidak mengizinkan semua Rakyat Negara ini memiliki rumah, kebanyakan rumah yang dibina oleh pemaju adalah di luar kemampuan khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Kemampuan isi rumah untuk membeli rumah masih membimbangkan susulan berlaku ketidakpadanan dari segi harga yang ditawarkan pemaju. Ada golongan pemaju hanya membina rumah-rumah kos sederhana dan mahal demi keuntungan pelaburan mereka, ia juga antara sebab ramai dari golongan muda tidak mampu beli rumah dan hanya menyewa sahaja kerana pendapatan tidak mencukupi untuk kelulusan syarat-syarat bank.

Data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) mendedahkan 35,592 rumah siap dibina dan tidak terjual (overhang) membabitkan nilai RM22.45 bilion sehingga suku pertama tahun 2022. Jumlah 20,680 (58.1%) rumah siap dibina dan tidak terjual adalah terdiri dari kategori rumah kondominium atau apartmen. Ini membuktikan Kerajaan gagal meneliti keperluan dan kehendak Rakyat serta membina rumah mengikut keperluan bagi golongan B40, M40 ataupun golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Keadaan menjadi lebih serius apabila kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) terkini pada kadar 2.50% peratus. Rakyat mungkin akan terus berdepan isu kemampuan dan kebimbangan mengenai kemelesetan global dan kadar inflasi yang berterusan.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua, Johor, Perak, Sarawak, Sabah dan Kelantan berada pada kategori paling teratas iaitu benar-benar tidak mampu milik rumah apabila merekodkan mata 5.1 dan ke atas. Bagi peringkat kebangsaan, harga rumah di Malaysia adalah sangat tidak mampu milik apabila mencatatkan 4.7 kali.

Kerajaan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob wajar mengambil langkah-langkah dengan kadar segera untuk membantu Rakyat bukan pemaju atau syarikat-syarikat yang ada kepentingan. Perdana Menteri wajib mengambil tanggungjawab penuh dalam mengawal harga rumah melalui dasar-dasar serta hapuskan dasar-dasar yang tidak Pro-Rakyat untuk memiliki Rumah. Skim khas pembelian rumah kepada golongan ekonomi gig, ehailing, artis, usahawan muda yang berkerja sendiri, siswazah yang berpendapatan rendah juga perlu diberi perhatian oleh Kerajaan.

Kerajaan Negeri perlu memainkan peranan untuk membuat tapisan keperluan pembinaan projek perumahan dalam Negeri masing-masing secara teliti ke atas sesuatu projek sebelum ia diluluskan, lagi-lagi projek pembinaan rumah tak mampu milik tapi hanya mampu memandang.

Dasar perumahan negara haruslah menyediakan perumahan yang mencukupi, berkualiti dan dalam kemampuan semua rakyat dari segenap lapisan masyarakat terutama bagi golongan yang berpendapatan rendah. Pembangunan dan kemajuan sebenar bukanlah semata-mata pembangunan infrastruktur sahaja tetapi pengubalan dasar-dasar yang membela nasib dan kesejahteraan Rakyat.

R. Yuneswaran
Ahli MPP Keadilan
Ketua Cabang Keadilan Tebrau

Related Posts
crossmenuchevron-up