Carian
May 24, 2021

Kerajaan Wajar Pertimbang 5 Dasar Kritikal Bagi Warga Emas

Dasar kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam melindungi kesejahteraan warga emas secara menyeluruh ternyata sangat ketinggalan zaman dan tidak peka akan keperluan warga emas dan ancaman yang dihadapi oleh golongan tersebut dalam tempoh pandemik Covid-19.

Malaysia dijangka akan menjadi negara tua menjelang 2030 dengan 15% populasi negara ini adalah yang berumur 60 tahun ke atas (angka Jabatan Perangkaan Malaysia). Oleh yang demikian, Pelan Strategik Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) 2021 – 2025 yang diumumkan oleh Menteri KPWKM baru – baru ini menjadi sangat kritikal dalam proses persediaan negara ini dalam menuju ke arah negara tua.

Kerajaan perlu mewujudkan sebuah ekosistem yang professional dalam industri perkhidmatan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan sosial warga emas dan mengambil kira perubahan keperluan warga emas yang terdampak akibat pandemik Covid-19.

Menurut beberapa kajian penyelidikan antarabangsa yang dijalankan selepas seluruh dunia dilanda wabak Covid-19, cadangan pembangunan model perkhidmatan penjagaan warga emas di rumah (Home Care) menjadi makin popular dalam pilihan masa depan berbanding dengan pusat penjagaan yang berkumpulan. Hal ini adalah kerana malangnya, kematian penghuni warga emas di pusat penjagaan warga emas meningkat dengan mendadak akibat jangkitan Covid-19 telah menonjolkan kelemahannya iaitu mudah menjadi inkubator virus.

Antara beberapa faktor yang menyebabkan penghuni warga emas lebih mudah terdedah kepada virus termasuklah kekurangan penjaga, kekurangan kakitangan professional kesihatan dan kekurangan peralatan perlindungan peribadi asas akibat kekangan kewangan di pusat jagaan, penjarakkan fisikal tidak dapat dilaksanankan akibat kesempitan ruang di pusat jagaan, tiada jururawat berdaftar (RN) bagi mewujud dan memantau prosedur menangani wabak jangkitan virus di pusat dan beberapa faktor lain yang mendorong perkara tersebut berlaku.

Oleh itu, terdapat 5 dasar yang harus diambil kira oleh kerajaan. Pertama, meningkatkan taraf kelengkapan fizikal dan tenaga kerja kesihatan dan sosial yang professional di pusat penjagaan warga emas yang mampu menangani ancaman jangkitan virus seperti Covid-19.

Dasar Pusat penjagaan warga emas kini perlu dilengkapkan dengan unsur penjagaan kesihatan professional dengan menempatkan sekurang – kurangnya jururawat berdaftar (RN) bekerja di pusat berkenaan dan bertangggungjawab dari segi perubatan dan hal kecemasan yang mungkin berlaku kepada para penghuni.

Di samping itu, menurut cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2015 dalam penerbitan “Home Health Care for the Elderly”, penjagaan kesihatan di rumah merupakan pilihan warga emas utama untuk mendiami rumah mereka dengan berdikari dan menua di komuniti. Definasi berdikari menjadi “keyword” bagi penuaan positif dan aktif dan juga lebih efektf dari segi kos. Walaubagaimanapun, koordinasasi dan konsistensi perkhidmatan menjadi lebih mencabar berbanding dengan model pusat penjagaan warga emas.

Pada hakikatnya, pembangunan model perkhidmatan penjagaan kesihatan dan sokongan sosial warga emas di rumah merupakan suatu langkah yang membolehkan warga emas berdikari selama mungkin dan melambatkan warga emas menjadi tanggungan kepada ahli keluarga yang lain atau masyarakat.

Dasar kedua, sudah tiba masanya KPWKM mengkaji cara penambahbaikan “Program Khidmat Bantu di rumah” yang dilaksanakan sejak 2012 kepada program yang lebih holistik dan menyeluruh. Seharusnya “Pakaj Khidmat di Rumah” ini mengandungi perkhidmatan penjagaan kesihatan dan sokongan sosial di rumah yang professional dan bukan sekadar bergantungkepada khidmat sukarelawan sahaja.

Merujuk kepada Belanjawan 2021, kapasiti program ini hanyalah seramai 8000 klien warga emas di seluruh negara berbanding dengan 3.5juta warga emas di Malaysia. Sehingga kini, tiada strategi yang menunjukkan sebarang hasrat kerajaan dalam menambahbaik pembangunan model atau menaikkan kapasiti berkaitan “Program Khidmat Bantu di Rumah” dalam Pelan Strategik 5 tahun ini.

Dasar ketiga, bagi membangunkan sebuah ekosistem perkhidmatan penjagaan warga emas yang holistik, kerajaan memerlukan pelan bagi melahirkan lebih banyak tenaga kerja yang professional dan berkualiti. Oleh itu, dasar KPWKM harus meningkatkan kelayakan tahap kemahiran tenaga kerja dalam sektor perkhidmatan penjagaan warga emas awam dan swasta untuk menjamin kualiti perkhidmatan.

Walaupun salah satu strategik dalam Pelan Strategik KPWKM (mukasurat 78) termasuk menjadikan perkhidmatan kerja sosial sebagai perkhidmatan yang professional, tetapi ia hanya menumpukan kepada pembangunan modal insan dalam kementerian dan agensi kerajaan. Kerajaan harus memahami keperluan pekerja sosial professional ini adalah dalam semua sektor dan bukan sahaja di sektor awam atau perkhidmatan penjagaan warga emas sahaja.

Sebagai contoh, kelayakan tahap pendidikan atau kemahiran jawatan Penyelia Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) sepatutnya ditingkatkan secara berfasa dalam tempoh 5 tahun daripada graduan Sijil Pelajaran Makaysia (SPM), graduan Sijil dan Diploma Kemahiran Malaysia (SKM) dalam sektor perkhidmatan penjagaan warga emas atau kepada graduan ijazah pekerja sosial.

Dasar keempat adalah reformasi institusi kebajikan supaya peranan institusi kebajikan awam lebih kepada menentukan, mengaudit, menggubal dasar dan peraturan serta membentuk program komuniti mengikut objektif, memperkukuhkan industri perkhidmatan kebajikan kepada kumpulan sasar dengan menyediakan peruntukan (grant) sungguhpun tidak terlibat dalam penghantaran perkhidmatan kepada kumpulan sasar secara langsung.

Keperluan tenaga kerja professional dilihat amat kritikal bagi menampung pelaksanaan reformasi institusi kebajikan dalam negara. Cara kerjasama antara KPWKM dengan Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Yayasan, inkorporasi dan sebagainya yang menerusi jabatan dan lembaga harus dikaji semula.

Kementerian dan jabatan harus memperkukuhkan peranan kerajaan sebagai pentadbir, pembuat dan pelaksana dasar, sistem dan peraturan yang fokus kepada pengauditan pencapaian program – program penghantaran perkhidmatan sosial melalui agensi dan pertubuhan – pertubuhan kebajikan sosial bukan kerajaan. Hal ini dapat mengurangkan kemungkinan dalam ketirisan perolehan, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pertubuhan kerajaan.

Oleh yang demikian, persaingan wujud antara pertubuhan - pertubuhan kebajikan sosial bukan kerajaan sebagai agen penghantaran perkhidmatan dan sokongan sosial untuk mendapatkan peruntukan (grant) daripada kerajaan. Dengan pembangunan pertubuhan kebajikan sosial bukan kerjaan ini, permintaan tenaga kerja professional seperti pekerja sosial akan menaik dan mutu perkhidmatan akan dipertingkatkan. Saya berharap agar cadangan dasar reformasi institusi kebajikan ini dapat dikaji dan dipertimbangkan dalam Pelan Strategik 2021-2025, mukasurat 74, penstrukturan semula KPWKM dan agensi.

Dasar menangani isu penuaan tidak seharusnya “one size fit all” tetapi harus diperhalusi dengan keperluan mengikut kumpulan warga emas yang tua dan lebih tua.

Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, warga emas berumur 60 – 64 adalah 1.2juta (3.7%) orang manakala 65 ke atas adalah 2.3juta (7%) daripada jumlah populasi pada 2020.

Mengambil iktibar pendaftaran pemvaksinan Covid-19, golongan warga emas merupakan golongan yang bukan sahaja kurang mahir dengan applikasi digital tetapi juga ada yang lebih tua dan keupayaannya semakin merosot secara keseluruhan dan amat memerlukan bantuan tambahan daripada ahli keluarga atau masyarakat dalam menjalankan tugas peribadi ini.

Oleh itu, merujuk kepada Pelan Strategik 5 tahun (mukasurat 42), walaupun diisikan dengan wawasan dan visi digitalisasi data warga emas seperti Pembangunan Sistem Pendaftaran Warga Emas Nasional (e-WEN), siapakah yang akan membantu patti tatta, ah gong ah ma, nenek dan atuk yang lebih tua untuk mendaftar sekiranya kerajaan ingin memelihara gaya hidup warga emas yang berdikari?

Dasar kelima, KPWKM harus mempertimbangkan penyediaan nombor telefon talian sebagai kemudahan asas bagi warga emas mendapat akses kepada maklumat kebajikan warga emas. Selain itu, sistem talian tersebut perlu dilengkapkan dengan beberapa pilihan bahasa supaya medium bahasa tidak menjadi halangan bagi warga emas untuk mempraktiskan hak mereka.

Hak menikmati hari tua dengan bermaruah adalah hak asasi semua rakyat dan kerajaan harus mengambil serius tentang semua impak dan perubahan dalam sektor perkhidmatan penjagaan warga emas terutama setelah tercetusnya wabak Covid-19.

Loh Ker Chean
Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN
Bekas Pengurus Program Warga Emas (Chinese Welfare Services of South Australia Inc.)

Related Posts
crossmenuchevron-up