Kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid yang sanggup meredah banjir untuk membuat Pilihanraya umum (PRU) adalah satu pandangan yang songsang dan dikesali.
Rakyat biasa turut faham bahawa penyelamatan nyawa dan harta adalah jauh lebih penting daripada kempen dan pilihanraya. Pembubaran parlimen sewaktu banjir melanda akan mengakibatkan situasi “negara tanpa kerajaan” ataupun “kerajaan tanpa kepala” yang pasti menyulitkan penyampaian arahan dan kerja-kerja bantuan dan penyelamatan.
Memanggil PRU sewaktu banjir juga tidak masuk akal. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah memaklumkan bahawa PRU pada asalnya akan membelanjakan RM1,000 juta. (1)
Anggaran ini adalah berdasarkan kepada keadaan tidak berlaku banjir. Kos tersebut pastinya lebih tinggi sekiranya PRU diadakan semasa banjir. Bekas Timbalan Pengerusi SPR Wan Ahmad Wan Omar turut mengakui bahawa kos menguruskan PRU ketika hujan atau banjir, akan meningkat sedikit sekitar 10% untuk seluruh negara jika ada pusat-pusat mengundi yang terpaksa ditutup (2). Ini bersamaan dengan peningkatan kos pilihanraya sebanyak RM100 juta!
Harus ingat bahawa kerugian banjir baru-baru ini telah mencecah RM6,500 juta (3). Rakyat tidak akan bodoh sehingga sanggup menanggung kos lebihan PRU15 RM100 juta tersebut. Bukankah lebih baik dana tersebut digunakan untuk menaiktaraf parit, membersihkan sungai serta memperbaiki longkang?
PRU sepatutnya dipanggil untuk memilih mereka yang menang daripada yang kalah, dan sekaligus menstabilkan haja tuju negara buat 5 tahun yang akan datang. Pembubaran parlimen sempena musim tengkujuh umpana menangguk di air keruh, dan menjadikan keadaan lagi tidak stabil.
Pilihanraya semasa banjir mungkin dapat “menyelamatkan” seorang dua politikus yang puas mencari jalan keluar daripada kes mahkamah mereka, tetapi jelas merugikan jutaan rakyat biasa.
(1) https://www.malaysiakini.com/news/631427
(2) https://www.malaysiakini.com/news/636500
(3)https://www.bharian.com.my/.../kerugian-akibat-banjir...
YB Lee Chean Chung
Pengarah Komunikasi KEADILAN
ADUN Semambu
LEE CHEAN CHUNG