Apple Iphone 14 telah dilancarkan pada 8 September lepas. Seperti biasa, ianya menarik perhatian peminat sedunia dengan reka bentuk tersendiri dan fungsi yang baru.
Peminat Iphone di Malaysia juga ramai, cuma yang betul-betul mampu membeli hanya sebahagian daripada kita sahaja. Contohnya, Iphone 14 Pro (128GB) dijual pada harga RM5299. Dengan gaji minima rakyat sekarang iaitu RM1,500, pekerja tersebut perlu bekerja sebanyak 3.53 bulan tanpa makan, tidur dan ke mana-mana untuk memperolehi iphone tersebut!
Kajian Numbeo yang mengambil gaji purata sesebuah negara menunjukkan bahawa rakyat Malaysia perlu bekerja sebanyak 29.2 hari untuk membeli iphone, berbanding dengan 4.6 hari di Switzerland, 5.7 hari di Amerika Syarikat, dan 6.1 hari di Australia. Ertinya, dengan usaha dan hasil titik peluh yang sama, mereka boleh memiliki lebih 5 buah iphone berbanding dengan kita.
Ada yang akan sindir, jangan beli sekiranya tidak mampu. Harus tahu bahawa ini merupakan satu analogi ataupun perbandingan. Kita wajar tanya, mengapakah pemandu teksi, pekerja KFC dan tukang pembersihan di negara-negara maju mampu memiliki iphone, tetapi kita tidak?
Menteri Kewangan Tengku Zafrul begitu gembira dengan kejatuhan nilai mata wang Ringgit. Tapi sedarkah bahawa kemerosotan Ringgit juga membawa kepada kenaikan harga. Pada tahun 2018, Kadar pertukaran nilai mata wang adalah RM3.90 kepada USD1 sahaja. Sekiranya Ringgit tidak jatuh seperti yang dibanggakan oleh Tengku Zafrul, Iphone 14 Pro hanya berharga sekitar RM4,500 sahaja, iaitu RM800 lebih murah berbanding dengan harga sekarang!
Situasi yang sama juga terpakai ke atas Starbucks, Mc Donald, Milo, susu bayi, ubi kentang dan daging lembu yang mana harganya akan naik dan naik menjadikan kita kurang mampu menikmati kehidupan yang setaraf dengan usaha kita. Hasilnya, Iphone adalah alat mampu milik di negara maju lain, tetapi hanya untuk orang kaya di Malaysia.
Kemerosotan Ringgit 20 tahun secara berterusan telahpun mengecutkan kuasa pembelian rakyat Malaysia, mengurangkan pekerjaan yang bernilai tinggi, dan memudarkan masa depan anak muda. Kita perlu serius menyusun semula struktur ekonomi, dan bukan berbangga-bangga dengan kejatuhan Ringgit
Lee Chean Chung
Pengarah Komunikasi KEADILAN
ADUN Semambu