June 12, 2025

LRT Penang dan Jalan Gerik-Jeli Dua Isu Berbeza,Dua Negeri Berbeza – Jangan Memperdayakan Tragedi Untuk Serangan Politik

Saya merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan yang mencadangkan agar kerajaan menangguhkan projek LRT Pulau Pinang, dan sebaliknya mengutamakan kerja menaik taraf Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik–Jeli, susulan tragedi kemalangan yang melibatkan pelajar UPSI baru-baru ini.

Bagi saya, kenyataan ini bukan sahaja mengelirukan, tetapi juga menunjukkan kecetekan pengetahuan beliau dalam pengurusan kewangan negara

Projek LRT di Pulau Pinang adalah sebahagian daripada Rancangan Induk Pengangkutan yang telah dirancang sejak bertahun-tahun dan merupakan langkah penting untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan berpenduduk padat.

Sebaliknya, kemalangan tragis yang melibatkan pelajar UPSI berlaku di Jalan Gerik–Jeli, Perak — di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya dan Unit Penyenggaraan Jalan Persekutuan (JKR).

Dua perkara ini langsung tidak berkaitan — dari segi lokasi, kementerian yang terlibat, mahupun jenis peruntukan. Adalah tidak bertanggungjawab untuk mencampur-adukkan dua isu yang jelas berbeza semata-mata untuk memperdayakan trajedi tersebut sebagai senjata politik.

Saya juga hairan mengapa seorang Ahli Parlimen Pulau Pinang sanggup menolak projek pengangkutan awam yang memanfaatkan negeri beliau.

Jalan Gerik–Jeli memang memerlukan penambahbaikan dari semasa ke semasa, di samping memperketatkan tahap keselamatan kenderaan berat. Saya turut bersimpati dengan keluarga mangsa. Tetapi penyelesaiannya bukan dengan mencantas projek pembangunan lain. Apa yang wajar dilakukan ialah:

• Menyalurkan peruntukan khas kepada Kementerian Kerja Raya,
• Mengarahkan tindakan segera oleh JKR Negeri dan Daerah,
• Dan memastikan semua jalan berisiko tinggi ditambah baik secara menyeluruh dan berterusan.

Menggunakan tragedi untuk menyerang projek yang tidak ada kaitan langsung adalah sesuatu yang amat tidak sensitif — terhadap mangsa, terhadap keluarga mereka, dan terhadap rakyat yang memerlukan kemajuan infrastruktur yang mampan.

Rakyat berhak mendapat maklumat yang tepat dan berasaskan fakta — bukan dimomokkan dengan naratif politik yang mengelirukan.

Saya percaya bahawa pembangunan sistem pengangkutan awam dan keselamatan jalan raya bukan isu yang perlu dipilih salah satu. Kedua-duanya penting, dan kedua-duanya mesti dilaksanakan serentak. Tapi bagi puak yang tertagih untuk memainkan isu walaupun dengan menyinggung perasaan keluarga mangsa, ini mungkin berbeza.

YB Lee Chean Chung
Ahli Parlimen Petaling Jaya

Related Posts
crossmenuchevron-up